Tindakan Pakatan Harapan yang mahu menghantar memorandum dengan mendakwa rang undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengurangkan kuasa Yang Dipertuan Agong adalah tidak berasas.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, rang undang-undang MKN tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Nur Jazlan menegaskan, MKN tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat selain Yang Dipertuan Agong.

Beliau berkata jawatankuasa MKN hanya boleh mengisytiharkan kawasan keselamatan yang melibatkan isu keselamatan termasuk jenayah merentas sempadan dan keganasan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Walk To Library di Johor Bahru, Johor.

Pada 22 Disember 2015, Dewan Negara meluluskan rang undang-undang MKN 2015 yang memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan negara.

Rang undang-undang itu memperuntukan bidang kuasa merangkumi penahanan masuk dan pemindahan orang, perintah berkurung, kuasa mengawal pergerakan jalan, kuasa menangkap dan memeriksa serta menyita.