Tutup

RUU Racun ditangguh ke sesi akan datang

RUU Racun ditangguh ke sesi akan datang
Cadangan peruntukan baharu dalam pindaan itu bagi memastikan hak pesakit dijamin dengan diberi pilihan selepas selesai sesi konsultasi untuk menentukan tempat mendapatkan bekalan ubat bagi rawatan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kerajaan menangguhkan bacaan kedua dan ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2019 yang dijadualkan di Dewan Rakyat pada Khamis ke sesi persidangan akan datang.

Permohonan menerusi Peraturan Mesyuarat 62 itu dikemukakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

RUU Racun (Pindaan) 2019 itu dijangka dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung Mac depan.

"Yang Dipertua, bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 62, saya memohon menangguhkan bacaan kali kedua dan ketiga D R 37/2019 RUU Racun (Pindaan) 2019.
"Seperti yang tertera dalam Aturan Mesyuarat No 1 pada hari ini dan dibawa ke mesyuarat akan datang," katanya.

RUU Racun (Pindaan) 2019 dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 25 November lalu, antara lain memperkenalkan peruntukan baharu mewajibkan pengamal perubatan berdaftar untuk mengeluarkan preskripsi jika diminta oleh pesakitnya.
Cadangan peruntukan baharu dalam pindaan itu bagi memastikan hak pesakit dijamin dengan diberi pilihan selepas selesai sesi konsultasi untuk menentukan tempat mendapatkan bekalan ubat bagi rawatan, sama ada di fasiliti perubatan itu sendiri atau di farmasi luar.

Bagaimanapun, pindaan itu mendapat reaksi negatif daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang menyifatkan beberapa cadangan dalam RUU yang membolehkan doktor didenda dan dipenjara kerana menolak memberi preskripsi atas permintaan pesakit sebagai “tidak wajar”.