Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg mengumumkan, Saau Kakok sebagai Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) Petroleum Sarawak Berhad, PETROS.

Pengalaman luas dalam aktiviti penerokaan huluan industri minyak dan gas di seluruh dunia antara kriteria utama pelantikan Saau Kakok, 64 tahun.

Beliau yang berbangsa bidayuh merupakan bekas Naib Presiden projek khas untuk Asia di syarikat minyak berpangkalan di Amerika Syarikat, Hess Corporation.

Ahli lain dalam Lembaga Pengarah Petros ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holdings, Datuk Mohammad Medan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad, Sharbini Suhaili, bekas Pengarah Urusan Shell Gas Malaysia, Heng Hock Cheng dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Datu Ir. Zuraimi Bin Sabki serta Datin Josephine Hilary Dom.

Sementara itu, Pengerusi PETROS ialah Tan Sri Hamid Bugo.

Kesemua mereka pernah berkhidmat dan memegang pelbagai jawatan dalam industri minyak dan gas.

Objektif utama penubuhan PETROS, membolehkan Sarawak mengambil bahagian dalam pembangunan minyak dan gas khususnya dalam penerokaan dan pengekstrakan minyak dan gas di perairan Sarawak.

Inisiatif juga selaras dengan aspirasi Sarawak mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk bakat tempatan dan menarik bakat dan kepakaran Sarawak yang berkhidmat di luar negara.