Tutup

Sabah berupaya kekal momentum tingkatkan pelaburan langsung asing

Sabah berupaya kekal momentum tingkatkan pelaburan langsung asing
Mohd Shafie dalam Hari MITI 2019 di Hotel Hilton Kota Kinabalu, hadir sama adalah Menteri MITI, Datuk Darell Leiking. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Sabah berupaya untuk mengekalkan momentum sedia ada dalam meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Kerajaan Negeri berada dalam landasan tepat untuk peningkatan prestasi itu menerusi pelbagai bidang terutamanya pelancongan, industri minyak dan gas.

Mengambil contoh industri perhotelan resort di Sabah, beliau berkata, sejak mengambil pentadbiran kerajaan, pihaknya telah mencatatkan pelaburan mencecah RM4 bilion setakat ini.

"Kita lihat banyak yang ada melabur di peringkat negeri, kilang perabot pun sudah ada, saya yakin dalam bidang pelancongan jauh lebih banyak.
"Di Lok Kawi, mereka membangunkan resort yang nilai pelaburannya tiga hingga empat bilion ringgit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) 2019 di Hotel Hilton, Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Hadir sama adalah Menteri MITI, Datuk Darell Leiking.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, pembangunan ekonomi dan daya tarikan pelaburan di Sabah akan bertambah rancak sekiranya pembangunan pelabuhan baharu di daerah Kudat dapat direalisasikan pada masa akan datang.

"Saya tahu di Pengerang (Johor) ada, tetapi di Singapura juga ada kerana Pengerang mahu bersaing dengan Singapura.

"Tetapi saya yakin kalau Kudat itu kita dapat bangunkan, bukan hanya sebagai tempat laluannya, pembaikan kapal, pembinaan kapal, perhentian dia, saya ingat jauh lebih dekat dengan Filipina, dengan Jepun, dengan China, dengan Hong Kong," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai Hari MITI 2019 yang julung-julung kali diadakan di Sabah, beliau memuji usaha Darell yang sentiasa komited dalam meningkatkan kadar pelaburan asing di seluruh negara dan rantau ini terutamanya menjelang persiapan Kalimantan Timur  sebagai ibu negara baharu Indonesia, tidak lama lagi.

Terdahulu, dalam Hari MITI 2019 tersebut, turut  diadakan adalah sesi temu duga secara langsung dengan menyaksikan penyertaan sebanyak syarikat tempatan.

Selain itu, antara program lain turut diadakan adalah Industry Forward (Industry4wrd)-Polisi Nasional mengenai Industri 4.0, Ceramah Rakan Kongsi Perniagaan bagi Kerjasama Global/Kewangan Melampaui Sempadan, Ceramah Perjanjian Perdagangan Bebas serta Ceramah Import Eksport.


Tag: sabah, pelaburan langsung asing, fdi, mohd shafie apdal, kerajaan negeri, ekonomi, pembangunan, pelancongan, minyak, gas, darell leiking



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.