Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Kenny Chua, menjelaskan bahawa kerajaan negeri Sabah hanya mempunyai RM1.6089 bilion untuk dibelanjakan sementara hutang dari pinjaman dan bon Kerajaan Persekutuan bagi projek-projek berjumlah RM3.8 bilion.

Beliau berkata kedudukan kewangan negeri setakat 18 Jun 2018 menunjukkan bahawa Wang Awam berjumlah RM3.3054 bilion.

"Daripada jumlah itu, hanya 48.7 peratus atau RM1.6089 bilion milik kerajaan negeri Sabah untuk Akaun Hasil Disatukan.

"Baki 51.3 peratus atau RM1.6965 bilion dipegang sebagai amanah untuk Akaun Amanah Disatukan dan oleh itu tidak dapat dibelanjakan oleh kerajaan negeri," kata Kenny Chua dalam satu kenyataan malam ini.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Khamis, anggota Dewan Undangan Negeri Luyang, Phoong Jin Zhe, meminta Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelaskan mengenai kedudukan kewangan semasa kerajaan negeri.

Dalam jawapannya semasa sidang DUN pada Khamis, Ketua Menteri yang juga memegang portfolio Kementerian Kewangan negeri berkata kerajaan negeri tidak mempunyai tunggakan bayaran pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan dan sedang meneliti tentang cara terbaik untuk menyelesaikan bon berjumlah RM1 bilion yang dijadualkan dibayar sepenuhnya apabila ia matang pada 9 Dis 2019.

Mohd Shafie berkata liabiliti kerajaan negeri terdiri daripada pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM2.871 bilion dan terbitan bon berjumlah RM1 bilion.

Bagaimanapun, Shafie berkata modal kerja adalah mencukupi untuk menampung bayaran harian yang diperlukan.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM150.7 juta setiap tahun bagi pembayaran balik pinjaman kerajaan persekutuan untuk tempoh 20 tahun dengan kadar faedah sifar peratus bagi projek-projek yang memberi manfaat kepada rakyat seperti projek bekalan air dan pembetungan; dan kadar faedah empat peratus bagi projek-projek komersial yang diperolehi melalui KKIP Sdn Bhd dan Saham Sabah Bhd.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk menuntut 20 peratus pendapatan bersih bagi Sabah dari Kerajaan Persekutuan sebagai geran khas selaras dengan hak-hak Sabah di bawah perlembagaan.

Ketua Menteri berkata perkara itu sedang dikaji dan jika perlu, Jawatankuasa Semakan Geran Khas Kerajaan Sabah akan dihidupkan semula untuk membolehkan rundingan disambung semula antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan negeri juga akan terus berunding dengan kerajaan persekutuan untuk mengkaji semula royalti minyak supaya ia ditingkatkan dari 5 hingga 20 peratus.

-- BERNAMA