Kerajaan negeri Sabah menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama, termasuk dalam aspek pembahagian bantuan kerajaan kepada masjid mahupun gereja, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Saya Ketua Menteri Sabah untuk semua kaum dan agama. Saya bukan Ketua Menteri satu kaum atau agama tertentu sahaja," katanya pada satu persidangan media selepas merasmikan Bangunan Baharu Perpustakaan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan timbalan menterinya Datuk Wilfred Madius Tangau menerusi catatan Facebook baru-baru ini bahawa 38 tahun lalu, seorang pemimpin kerajaan negeri Sabah berada di Tambunan bagi mengadakan upacara pengislaman beramai-ramai secara ugutan.

Catatan Wilfred Madius itu dibuat bagi membandingkan kehadiran Mohd Shafie pada hari yang sama di Tambunan yang memberi peruntukan RM1 juta kepada sebuah gereja di daerah itu, dan ia mengundang pelbagai reaksi beberapa pihak termasuk UMNO Sabah yang mempertikaikan kenyataan itu.

-- BERNAMA