Kerajaan Negeri Sabah berhak untuk menuntut hak-hak keistimewaan termasuk isu minyak dan gas daripada Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Profesor Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Ir. Dr Rosalam Sarbatly berpendapat, ia bukan masa yang sesuai (untuk menuntut) memandangkan kerajaan negeri sedang memberikan fokus kepada kerjasama dengan Petronas.

Menurutnya, jika tuntutan dibuat pada masa ini, ia dikhuatiri akan mengganggu kerjasama tersebut.

"Tindakan Sarawak buat masa ini adalah tepat pada masanya tetapi belum untuk Sabah. Namun harus diingat Sabah juga mempunyai hak yang sama.

"Cuma mungkin ini bukan masa yang sesuai... sebab buat masa ini Sabah punya terma infrastruktur minyak dan gas (in term of infra oil in gas) hingga menyebabkan kita masih 'terkebelakang' selain memerlukan lebih banyak dana (fund) untuk dibawa masuk serta membina lebih banyak hiliran (downstream).

"Walaupun kita punya fasiliti dari segi infrastuktur, kita masih 'terkebelakang' kalau dibandingkan dengan Sarawak," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di UMS hari ini, untuk mengupas isu kejayaan Sarawak yang diberikan hak Petros seperti diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam majlis di Kuching, semalam.

Dari segi tuntutan, beliau berkata memang terdapat klausa yang jelas dan termaktub dalam perlembagaan sedia ada yang mana dari segi perkongsian dan keperluan untuk Sabah, negeri ini sememangnya mempunyai hak.

Mengulas mengenai situasi di Sarawak, tuntutan itu agak bersesuaian jika dilihat dengan persediaan mereka dari aspek terma minyak dan gas yang disifatkan sudah stabil buat masa sekarang ini.

"Tetapi untuk kes di Sabah, kita memerlukan lebih banyak dana pelaburan dan sebagainya memandangkan dari segi pengurusan mungkin agak ke belakang jadi memerlukan bantuan buat masa ini untuk membantu mengurus terutamanya pembangunan infrastruktur di Sabah dan juga pembangunan industri minyak dan gas secara hiliran.

Dalam pada itu, Rosalam menjelaskan situasi yang berlaku di Sarawak adalah memperlihatkan ketelusan Perdana Menteri untuk memberikan hak rakyat sejajar dengan perjanjian autonomi berbanding sebelum ini.

"Sebenarnya kalau dilihat pada masa sekarang Datuk Seri Najib telah menunjukkan satu keterbukaan, kalau kita lihat dari segi Akta Petroleum itu sendiri sebenarnya Akta Petroleum 1974... kuasa sebenar adalah terletak di tangan Perdana Menteri, dan PETRONAS hanyalah sebagai syarikat korporat yang mencadang kepada beliau serta sebagai penasihat dari segi petroleum," katanya.