Tutup

Sabah kuatkuasakan serta-merta larangan pembakaran secara terbuka

Sabah kuatkuasakan serta-merta larangan pembakaran secara terbuka
Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah akan memantau dan menguatkuasakan undang-undang larangan aktiviti pembakaran terbuka sehingga arahan baru dikeluarkan. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menyokong penuh kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar mengenai larangan aktiviti pembakaran terbuka yang dikuatkuasakan serta merta di Sabah.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Datuk Seri Hashim Paijan berkata ia bagi mengurangkan impak jerebu yang sedang berlaku di Sabah.

"Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah akan memantau dan menguatkuasakan undang-undang larangan aktiviti pembakaran terbuka sehingga arahan baru dikeluarkan," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di enam stesen pemantauan di Sabah iaitu di Politeknik Kota Kinabalu, Kota Kinabalu, Kimanis, Keningau, Sandakan dan Tawau pada jam 1 tengah hari, hari ini menunjukkan berada pada tahap sederhana dan tiada titik panas dilaporkan.

Hashim yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri turut menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan kualiti udara dan menyebabkan jerebu bertambah buruk.

Katanya, aktiviti fizikal di luar bangunan juga perlu dikurangkan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu, memakai penutup hidung dan mulut yang sesuai selain banyakkan minum air kosong serta dapatkan rawatan segera sekiranya tidak sihat.
Beliau berkata orang ramai juga boleh membuat laporan mengenai sebarang aktiviti pembakaran terbuka kepada JAS di talian 1-800-88-2727 atau 03-88891972.

Jelasnya, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah juga dinasihatkan untuk menutup semua sekolah apabila bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat.

"JAS sentiasa memantau keadaan terkini dan sekiranya terdapat peningkatan bacaan IPU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah melalui Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sabah akan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengurangkan impak kesan jerebu," katanya.

-- BERNAMA

Tag: kerajaan negeri sabah, pengurusan bencana, alam sekitar, pembakaran terbuka, bencana alam, larangan pembakaran, jerebu, hutan, agrikultur


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.