Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri berhasrat untuk menurunkan kadar kemiskinan di Sabah kepada 1.0 peratus daripada 2.9 peratus pada tahun 2016 menjelang tahun 2020.

Beliau berkata berkata bilangan penduduk miskin di Sabah pada tahun 2018 ialah seramai 73,754 orang dan menjadi negeri ketiga paling ramai rakyat miskin selepas Kelantan (157,845 orang) dan Sarawak (138,006 orang).

Katanya, Sabah juga masih merupakan negeri yang mempunyai bilangan penduduk miskin tegar paling tinggi di Malaysia ketika ini iaitu 93,119 orang.

"Justeru, kerajaan kini sentiasa komited dan terus berusaha untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar keluar daripada belenggu kemiskinan," katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2019 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Jumaat.

Beliau berkata untuk tahun depan, peruntukan sejumlah RM309.73 juta disediakan untuk pelbagai kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) bagi mengurus program menjurus kepada penjanaan pendapatan dan pengurangan insiden kemiskinan.

Katanya, KPLBS antara lain akan terus menambah baik projek-projek Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di seluruh negeri dalam tiga aspek utama iaitu ekonomi, infrastruktur dan modal insan yang bertujuan meningkatkan kualiti hidup serta menambah pendapatan peserta MESEJ.

Di samping itu, katanya, pelbagai aktiviti di bawah Program Peningkatan Ekonomi Setempat dan Pembangunan Modal Insan akan diselaras dan dilaksanakan, khususnya di daerah yang mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi untuk mencapai matlamat pengurangan bilangan rakyat miskin itu.

Bagi tujuan sama, kata Mohd Shafie, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah melalui Koperasi Pembangunan Desa (KPD) akan diperuntukkan sebanyak RM19.23 juta bagi meneruskan program meningkatkan pendapatan golongan petani, pekebun kecil, penternak dan nelayan miskin melalui Kontrak Perladangan.

Selain itu, katanya, peruntukan sebanyak RM15.15 juta disediakan untuk subsidi pembelian kira-kira 10 juta liter susu bagi meningkatkan pendapatan penternak lembu tenusu di negeri itu.

-- BERNAMA