Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak 'bersetuju' bekerjasama untuk mengkaji penubuhan sebuah syarikat penerbangan sendiri di rantau Borneo pada masa hadapan.

Perkara itu dinyatakan oleh kedua-dua Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Abang Johari Openg, yang menyifatkan pembinaan berkenaan bakal menguntungkan ramai pihak.

Mohd Shafie berkata, impak pembangunan rantau ini, ditambah dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur, yang berjiran dengan Sabah dan Sarawak, membolehkan perkara itu direalisasikan.

Beliau berkata, syarikat penerbangan melibatkan dua negeri di Borneo itu juga dilihat akan merapatkan jurang pengangkutan terutamanya di kawasan pedalaman di Sabah, Sarawak, Brunei dan juga Kalimantan secara dasarnya.

"Kita pun banyak kawasan pedalaman yang perlu infrastruktur untuk sampai ke situ. Jadi, mereka boleh pergi ke kawasan seperti Kunak, Lahad Datu, kawasan terpencil seperti Long Pasia, kawasan terpencil di Bario (Sarawak), banyak lagi, Lubuk Antu, kawasan-kawasan yang agak mengambil masa untuk kita nak sampai.

"Kemungkinan dengan adanya satu sistem, (syarikat) penerbangan mungkin, kita kena lihat (kemungkinan tersebut), kerana Pulau Borneo ini besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam bersama rombongan Abang Johari di sini, malam tadi.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat delegasi kerajaan negeri Sarawak diketuai Abang Johari, yang dalam rangka lawatan kerja dua hari yang turut disertai beberapa menteri dan pegawai kerajaan.

Mengulas mengenai kesediaan pihaknya dan Kerajaan Negeri Sarawak terhadap pembangunan Kalimantan Timur sebagai pusat ibu negara Indonesia yang baharu, Mohd Shafie berpendapat 'penerbangan' tersebut turut meningkatkan impak positif di rantau ini.

"Kita jangan lihat kepada politik semata-mata. Kita harus lihat macamana kita membangunkan rantau ini, untuk kepentingan wilayah, sama ada Sabah, Sarawak, pihak Kalimantan.

"Di samping itu, ada negara Indonesia, negara Brunei, dan dalam masa sama, kita mewakili Malaysia," katanya.

Sementara itu, Abang Johari ketika mengulas mengenai cadangan untuk kajian tersebut, ia juga akan merangsang aktiviti pelancongan di seluruh negara.

"Saya tadi telah mencadangkan kita boleh buat kajian, just a study, untuk kita mewujudkan sebuah syarikat penerbangan di Malaysia khasnya Sabah dan Sarawak.

"Ia untuk merangsangkan lagi pelancongan dan juga jaringan, connectivity di antara beberapa pusat atau hab yang kita boleh wujudkan di rantau ini," katanya.

Untuk rekod, setakat ini, Sabah mempunyai lesen syarikat penerbangan sendiri iaitu Sabah Air Aviation Sdn Bhd manakala di Sarawak dengan Hornbills Skyways Sdn Bhd.