Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif untuk meneliti semula isu pengambilan tanah adat oleh agensi tertentu daripada penduduk di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata langkah itu adalah bagi mencari penyelesaian kepada permasalahan tanah adat dan berusaha untuk mengembalikan tanah adat tersebut kepada pemilik asalnya.

"Kita tidak mahu perkara ini berlarutan, justeru saya meminta kepada Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU) untuk melihat dan mengkaji semula keadaan ini.

"Kita selaku kerajaan mengambil tindakan kerana kita mempunyai kuasa. Tapi jangan kita salah guna kuasa kita semata-mata untuk kepentingan diri, rakyat kita ketepikan.

"Saya juga meminta agar agensi pusat dan Kerajaan Negeri bekerjasama rapat memantau dan membuat laporan untuk saya melihat perkembangan mengenai isu ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan dan tinjauan Projek Ladang Agropolitan Gana di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, pihaknya juga berhasrat untuk membina satu pusat pemindahan untuk menempatkan mangsa banjir di daerah tersebut.

Menurutnya, beliau turut meminta Pegawai Daerah untuk mengenal pasti kawasan tanah lapang untuk dibangunkan sebagai kawasan penempatan sementara sewaktu musim banjir.

"Kita juga meminta mana-mana agensi yang mempunyai tanah untuk diberikan kepada kerajaan agar kita mempunyai satu lot untuk membangunkan hostel bangunan memuatkan 50 hingga 100 orang," katanya.

Terdahulu, Mohd Shafie meluangkan masa kira-kira tiga jam beramah mesra bersama penduduk setempat dalam majlis Hari Bersama Ketua Menteri Sabah Peringkat Daerah Kota Marudu.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick dan Pegawai Daerah Kota Marudu, Arnold Joibi.