Kerajaan Negeri Sabah mengumumkan pemberian bonus Aidilfitri sebanyak RM500 kepada 21,021 penjawat awam negeri itu hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata bonus berkenaan akan dibayar kepada semua penjawat awam yang terdiri daripada anggota perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun sebelum Hari Raya Aidilfitri pada awal Jun nanti.

Beliau berkata pemberian berkenaan adalah bagi meringankan bebanan kesemua penjawat awam terutamanya mereka yang akan menyambut hari lebaran.

"Walaupun dalam keadaan kewangan negeri yang tidak begitu sihat, bersempena hari yang mulia untuk meringankan bebanan anggota perkhidmatan awam negeri Sabah, Kerajaan Negeri telah pun bersetuju memberi bonus sebanyak RM500 untuk semua peringkat daripada atas sampai ke bawah.

"Kita akan melakukan bayaran secepat mungkin dalam beberapa hari ini, sebelum hari raya untuk sekurang-kurangnya mengurangkan bebanan," katanya.

Mohd Shafie berkata demikian ketika ditemui media selepas menyerahkan sumbangan Aidilfitri berupa kuih muih kepada Pasukan Keselamatan di Yayasan Sabah, Kota Kinabalu, pada Rabu.

Dalam majlis itu, sebanyak sembilan pasukan keselamatan di negeri ini menerima sumbangan berkenaan yang disampaikan oleh Mohd Shafie dengan sebanyak 40 agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat secara langsung dalam pengagihan kuih raya tersebut.

Mohd Shafie dalam ucapannya berkata pasukan keselamatan yang menjaga kententeraman di negeri ini harus dibela sebaik mungkin terutamanya pada musim perayaan ini.

Jelas beliau, rakyat harus merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan sedia ada yang sentiasa berkorban waktu untuk terus menjaga kedaulatan tanah air dan persempadan di Sabah dari semasa ke semasa.