PELAKON dan pengarah Ahmad Idham Nadzri meminta pihak-pihak yang tidak sependapat dengannya selama ini agar bersabar dan memberi peluang dan ruang buat beliau yang baru dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Ahmad Idham juga memohon pengkritik-pengkritiknya agar jangan dengan pantas menjatuhkan hukuman kepadanya sebelum beliau melaksanakan tugas di agensi yang bertanggungjawab menjaga perkembangan filem tempatan.

Dalam masa sama, Ahmad Idham berkata, beliau faham sesiapa sahaja bebas memberi pandangan mengenai pelantikannya sebagai CEO Finas seperti yang diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo pada Khamis.

"Sabar, saya belum mula kerja lagi. Baru hari ini ke pejabat. Macam mana boleh hakimi saya sedangkan saya belum bekerja lagi.

"Namun begitu, saya faham sebenarnya (kritikan) walaupun saya buat filem aliran perdana, saya juga pernah buat filem seni saya juga sedia maklum mengenai industri filem.

"Jangan hakimi saya hanya berdasarkan filem-filem yang saya buat sebelum ini kerana (ketika berkarya) terdapat konflik di situ antara perniagaan dan hala tuju industri," kata Ahmad Idham kepada Astro AWANI ketika dihubungi.

Kerajaan umum lantik Ahmad Idham sebagai CEO Finas untuk membantu memperkasakan industri perfileman tanah air.

Ahmad Idham, 45, dilantik sebagai CEO Finas bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 11 Mac lalu.

Pemgang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi MARA itu mempunyai kepakaran serta pengalaman di dalam industri kreatif selama lebih 25 tahun selain pernah mencatat rekod dan menerima pelbagai anugerah di dalam dan luar negara.

Sebaik menduduki kerusi CEO Finas, Ahmad Idham sedia maklum, beliau harus meletakkan kepentingan industri filem secara umum sebagai keutamaan.

Menyedari tugas yang disandangnya itu diiringi cabaran yang besar, Ahmad Idham menegaskan matlamat utamanya ialah mengubah persepsi kurang manis mengenai Finas dalam fikiran seluruh anggota masyarakat.

"Perkara paling penting ialah mengikis persepsi dan pandangan kurang elok (negatif) mengenai Finas kononnya Finas tak boleh buat itu, tak boleh buat ini.

"Hari ini, dengan amanah yang diberikan saya mahu mengajak seluruh karyawan filem dan pemain industri untuk sama-sama kita bekerja memperbaiki apa yang kurang elok dan menambah baik kelebihan-kelebihan yang sedia ada dalam industri," ikrar Ahmad Idham lagi.

Beliau juga sangat yakin kerjasama akrab antara seluruh karyawan filem dan Finas akan membuka lembaran baharu dalam gelanggang perfileman Melayu.