Seorang jurutera pada Isnin terlepas hukuman penjara tiga tahun selepas Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan sabitan terhadapnya atas tuduhan memiliki kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), enam tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas membenarkan notis rayuan yang dikemukakan P. Prem Kumar, 40, untuk mengetepikan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen terhadapnya sebelum ini, memandangkan pihak pendakwaan tidak membantah rayuan tersebut.

Pada Oktober 2018, Mahkamah Sesyen Kemaman menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Prem yang bekerja di sebuah syarikat bahan kimia di Kemaman, selepas didapati bersalah atas lima pertuduhan memiliki beberapa helaian kertas soalan UPSR bagi mata pelajaran Bahasa Tamil, Sains dan Matematik melalui telefon bimbit jenis Iphone5.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilang Malay Sino Chemical PT4406 di Kawasan Perindustrian Telok Kalong di Kemaman pada pukul 1 tengah hari, antara 9 dan 15 Sept 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih tujuh tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Ahmad Marzuki Nik Mohamad dan Wan Amira Kusaini Wan Abdul Malek, manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.