Sabung ayam, berjudi atas talian dan tiada alasan kukuh ketika berada di jalan raya antara yang menyumbang kepada peningkatan jumlah tangkapan individu yang ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak.

Perkara ini dinyatakan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Ini susulan negeri Bumi Kenyalang catat 49 tangkapan setakat jam 8.00 pagi Sabtu sehingga 8.00 pagi hari ini.

Daripada jumlah tersebut Kuching mencatatkan tangkapan teringgi iaitu 17 orang, diikuti Padawan dan Sibu masing-masing tujuh tangkapan, Serian dan Bintulu (5), Matu Daro (2) dan Meradong (2), manakala Kota Samarahan, Marudi, Lubok Antu dan Kanowit dengan satu tangkapan.

“Ada dalam kalangan yang ditangkap ini yang memang saja-saja duduk berkumpul dan ketika ditahan, mereka memang tidak punya alasan yang kukuh untuk keluar.

“Nampaknya semakin ramai yang ingkar dengan arahan ini dan tidak takut dengan hukuman yang bakal mereka hadapi,” ujarnya.

Justeru beliau menggesa rakyat Sarawak untuk terus patuh dengan perintah ini dan jangan sesekali mengingkari arahan yang dikeluarkan kerajaan.

Ini kerana tindakan lebih tegas akan diambil sekiranya angka penahanan mereka yang ingkar PKP itu terus meningkat.

“Sekiranya anda tidak punya alasan yang kukuh untuk keluar daripada rumah, janganlah melanggar peraturan dan kami sangat memerlukan kerjasama orang ramai untuk memutuskan rantaian penyebaran COVID-19 ini," katanya.