Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Datuk Osman Sapian meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor.

Jelasnya, surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada beliau dalam satu pertemuan di Putrajaya pada Isnin.

“Menteri Besar Johor telah letak jawatan semalam dengan menghantar surat kepada saya dan akan menghantar surat kepada Sultan Johor.

"Tentang siapa penggantinya, kita belum tentukan, tetapi kalau ikut perjanjian dalam Pakatan Harapan (PH), Menteri Besar Johor hendaklah dari Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia),” katanya pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.



Diminta menjelaskan berkenaan proses peletakan jawatan tersebut, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berkata, Osman mengemukakan dua surat kepadanya.

“Dia menghadap ‘duli yang maha mulia’ Mahathir Bin Mohamad dengan dua surat. Satu surat adalah kepada saya untuk menyatakan peletakan jawatannya, dan satu lagi surat adalah untuk Sultan Johor dan saya berhak membacanya,” katanya.

Bagaimanapun, surat tersebut belum diserahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, kerana baginda masih berada di luar negara pada ketika ini.

Dr Mahathir pada masa sama mengakui terdapat tiga atau empat nama calon yang disenaraikan sebagai pengganti Osman.

“Buat sementara waktu, Johor tidak ada Menteri Besar,” katanya.

Ditanya sama ada Osman berundur bagi mengambil tanggungjawab terhadap isu antara kerajaan Johor dan Singapura, beliau yang juga Pengerusi PH menjawab:

"Kita belum menyatakan kenapa beliau berundur tetapi beliau sudahpun berundur. Tiada sebab diberi kenapa beliau berundur."