Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan Sahabat Cilik SPRM secara serentak di 14 sekolah seluruh negara dalam usaha menyebarluas mesej antirasuah di kalangan murid sekolah rendah di negara ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, golongan murid sekolah rendah merupakan ‘tulang belakang’ yang bakal menjadi pemimpin bebas rasuah pada masa depan.

Jesteru, penting bagi golongan tersebut diberi pendedahan awal mengenai pendidikan berkaitan rasuah di negara ini.

"Kita mahu mendidik golongan pelahar dari peringkat sekolah rendah untuk mengenali rasuah dan kesan buruknya sehingga dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja benci malah jijik kepada rasuah.

"Program jangka panjang perlu supaya Malaysia bakal menjadi sebuah negara bebas daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa," kata Dzulkifli selepas majlis pelancaran Sahabat Cilik SPRM dan Maskot SPRM di Sekolah Kebangsaan (SK) Hashim Awang, di sini, hari ini.

Dzulkifli berkata, bagi menarik minat golongan murid memahami aspirasi SPRM , pihaknya turut melancarkan Maskot SPRM yang dikenali sebagai Komisioner DZ.

Dalam pada itu, Dzulkifli berkata, pihaknya juga merancang untuk melancarkan program sama membabitkan pelajar sekolah peringkat menengah dan Institusi Pengajian Tinggi ( IPT) dalam usaha memberi kesedaran mengenai bahaya rasuah dan salah guna kuasa.