Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah menyeru pucuk pimpinan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat untuk bertemu segera bagi membincangkan beberapa perkara yang menjadi asas kepentingan bersama.

Antara isu kepentingan bersama itu termasuklah soal persempadanan semula kawasan pilihan raya yang tidak dapat dilakukan dalam penggal Parlimen yang lepas kerana tiada majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Menurut Saifuddin, keputusan pilihan raya umum ke-13 dan pilihan raya umum sebelumnya lima tahun lalu jelas membuktikan bahawa "rakyat seperti sudah mengatakan selamat tinggal dua pertiga."

"Bukankah adalah lebih baik seandainya kedua-dua pihak itu berunding dan cuba mencari kata sepakat. Kalau tidak kita akan berdepan dengan PRU-14 dengan kawasan-kawasan sempadan yang jumlah pengundinya menggelembung," katanya.

Beliau berkata demikian semasa jadi tetamu program diskusi Agenda Awani yang dikendalikan oleh Pengarang Eksekutif Kamarul Bahrin Haron, malam tadi.

Di bawah Perlembagaan Persekutuan, persempadanan semula kawasan pilihan raya perlu dibuat dalam masa antara lapan hingga 10 tahun daripada persempadanan sebelumnya. Persempadanan yang terakhir dipercayai dibuat pada 2003.

Pada masa ini, ada 222 kawasan Parlimen dan 576 kawasan Dewan Undangan Negeri. Menurut Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan, sesebuah kawasan pilihan raya itu antara lain hendaklah mempunyai bilangan pemilihan yang lebih kurang sama kecuali bagi kawasan-kawasan luar bandar yang menghadapi masalah perhubungan.

Dalam pada itu, Saifuddin juga melihat perbincangan pucuk pimpinan BN dan Pakatan Rakyat itu juga penting sebagai sebahagian daripada usaha penyatuan nasional yang menjadi wacana umum sejak selepas PRU-13 lalu.

"Saya fikir kita harus sedaya upaya, masing-masing dalam parti masing-masing cuba secara yang paling bijaksana menyampaikannya kepada pucuk pimpinan masing-masing supaya perkara itu dapat dilaksanakan.

"Rakyat saya fikir dahagakan itu (melihat pucuk pimpinan BN dan Pakatan Rakyat duduk semeja)," katanya .

Bagaimanapun beliau sedikit bimbang harapan itu mungkin agak sukar sekiranya pemimpin politik terus "berpesta-pestaan" dalam kelompok masing-masing selepas PRU-13.

Menurut Saifuddin, suara rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu membayangkan kehendak rakyat untuk masa depan negara ini dan kehendak mereka itu perlu dipenuhi dengan pendekatan yang baru.

Pendekatan baru yang beliau namakan sebagai "naratif baru untuk masa depan bangsa Malaysia" itu bagaimanapun "tidak harus tercabut daripada akar yang lama".

Jelas Saifuddin, pengharapan rakyat kepada pemimpin sudah berubah daripada isu-isu melibatkan soal pembangunan kepada hal-hal melibatkan demokrasi termasuk kebebasan, kesaksamaan dan hak asasi.

Hal-hal itu, katanya, harus dilihat di luar ruang lingkup etnik supaya kita boleh melihatnya daripada perspektif yang lapang dan merentasi soal kalah menang pilihan raya.

"Ini adalah soal yang lebih besar daripada menang dan kalah. Itu pada saya yang perlu naratif baru," katanya.

Naratif baru itu jelas Saifuddin termasuklah meninggalkan cara lama berpolitik yang terlalu memihak sehingga membangkang hanya semata-mata untuk membangkang.

Beliau menyebut beberapa perkara yang harus menjadi asas untuk menggerakkan naratif baru antaranya media yang lebih bebas, keberanian untuk bersuara, parlimen yang tidak partisan serta pemikiran yang progresif dan peranan masyarakat sivil sebagai kuasa penggeraknya.

"Saya nampak kuasa masyarakat sivil begitu besar kerana 30 peratus pengundi adalah golongan pertengahan; ramai di kalangan mereka ini adalah masyarakat sivil yang mempengaruhi keputusan PRU-13," katanya.

Saifuddin yang bertanding di kerusi Parlimen Temerloh dalam pilihan raya umum lalu kalah kepada Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Tantawi dengan majoriti 1,070 undi. Dalam pilihan raya umum pada 2008, Saifuddin menang kerusi itu dengan majoriti 2,441 undi.

Klik untuk ikuti perbincangan penuh Agenda Awani