Tutup

Saifuddin digesa ketengah ketegangan AS-Iran di mesyuarat OIC

Saifuddin digesa ketengah ketegangan AS-Iran di mesyuarat OIC
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah digesa mengetengahkan ketegangan antara Amerika Syarikat-Iran. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, yang kini menghadiri Mesyuarat Persediaan Majlis Menteri-Menteri Luar bagi Sesi ke-14 Sidang Kemuncak Islam (Sidang Kemuncak OIC) di Jeddah sehingga Jumaat, digesa mengetengahkan ketegangan antara Amerika Syarikat-Iran yang mungkin menjadi konflik serius di Timur Tengah.

Mesyuarat tiga hari di peringkat Menteri Luar bakal membincangkan situasi di Palestin, nasib Rohingya dan pelbagai isu politik yang menjejaskan dunia Islam.
Saifuddin pada Rabu menerima memorandum daripada sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu itu, di mana kumpulan tersebut, antara lain menyuarakan bantahan keras mereka terhadap dasar pentadbiran Trump yang sedang membangunkan duluan untuk perang di Iran.

Kumpulan itu, yang diketuai Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid, menyerahkan memorandum kepada Pegawai Tugas Khas kepada Menteri Luar Adli Zakuan Zairakithnaini, yang menerimanya bagi pihak Saifuddin, di Putrajaya.
Gabungan terdiri daripada Sekretariat Majlis Ulama Asia, Pakatan Masjid-Masjid Dunia bagi Mempertahankan Al-Aqsa, Citizens International, Pergerakan Belia Islam Malaysia, Majlis Ulama Malaysia, Sejagat Malaysia, SALIMAH Malaysia, International Relief and Humanitarian Outreach, Yayasan Ilham, G25 dan Pusat Minoriti Islam.

Mohd Azmi, yang dihubungi Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, berkata lebih banyak NGO dijangka menyertai 'Kempen Hentikan Peperangan.'

Kumpulan itu, dalam memorandum mereka, mahu Malaysia menggesa OIC menghentikan AS daripada meningkatkan operasi ketenteraan terhadap Iran, menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)mengadakan mesyuarat tergempar bagi menghentikan AS daripada mencari alasan untuk menyerang Iran, dan bagi Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar untuk menghentikan Presiden AS daripada melakukan sebarang provokasi yang mungkin mencetuskan peperangan.

Adli Zakuan berkata kandungan memorandum itu "akan diambil kira oleh Menteri Luar dalam pendirian dan perbincangan Malaysia semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar OIC pada 29 Mei di Jeddah dan Sidang Kemuncak OIC pada 31 Mei di Makkah."

Tahun lepas, pentadbiran Trump telah menarik keluar AS daripada perjanjian nuklear antarabangsa Iran 2015 dan mengenakan semula sekatan ke atas Iran yang telah ditarik balik atau dikecualikan sebelum ini di bawah Pelan Bertindak Komprehensif Bersama (JCPOA).

Ketegangan antara kedua-dua negara baru-baru ini telah timbul selepas AS menghantar empat pengebom berat B-52 ke Timur Tengah sebagai respons kepada dakwaan terdapat ancaman Iran ke atas tentera AS di rantau itu.

AS turut mengumumkan bahawa ia akan menghantar sejumlah 1,500 tentera tambahan ke rantau itu, yang mencetuskan kebimbangan berlaku konflik.

-- BERNAMA





Tag: Menteri Luar, Saifuddin Abdullah, Sidang Kemuncak Islam, Sidang Kemuncak OIC, Jeddah, ketegangan Amerika Syarikat-Iran, konflik Timur Tengah, dunia Islam, memorandum, konflik serius



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.