Universiti Putra Malaysia melangkah setapak lagi dalam bidang perubatan dan sains kesihatan apabila berjaya mencipta tulang tiruan sintetik yang diperbuat daripada bahan semulajadi iaitu kulit kerang.

Tulang sintetik itu mampu mempercepatkan pertumbuhan tulang baharu terutama di kalangan pesakit yang ditimpa kemalangan.

Inovasi berkenaan dicipta Professor Dr Md Zuki Abu Bakar dari Fakulti Veterinar UPM dengan kerjasama rakan industri, Dr Baskaran Gunasekaran dari Syarikat Ozherb Sdn. Bhd.

Menurut Dr Baskaran, ketika ini tulang tiruan itu masih diuji ke atas arnab dan anjing sebelum mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan untuk dilakukan kepada tulang manusia.

"Ujian ke atas arnab dan anjing dilakukan kerana kedua-dua haiwan ini anggota badannya mirip manusia. Hasil kajian mendapati hasil percantuman tulang sangat baik dan kurang daripada tiga bulan," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Hari Terbuka Inovasi UPM di sini, hari ini.

Pesakit diyakini mampu sembuh dalam tempoh singkat melalui penggunaan tulang sintetik itu ke dalam mana-mana bahagian anggota badan yang patah.

"Pemulihan akibat patah tulang akan mengambil masa yang panjang, jadi untuk seorang pesakit keluar daripada trauma.

"Namun, melalui penggunaan produk sebegini rupa, trauma akan menjadi lebih kurang sebab kita jamin pertumbuhan tulang itu lebih cepat dan kesakitan boleh dikurangkan serta-merta," jelasnya.

Tambahnya kebanyakan produk di pasaran perubatan menggunakan bahan toksid yang disifatkan lebih berbahaya untuk badan manusia.

Namun, dengan penggunaan teknologi dan bahan semulajadi mampu memberikan kelebihan kepada produk berkenaan untuk memasuki pasaran industri.

"Produk ini adalah tidak toksid dan sumber asli. Kebanyakan produk lain menggunakan sebatian kimia yang mungkin membawa kemudaratan kepada kesihatan manusia," katanya lagi.

Tambahnya lagi, Professor Dr Md Zuki mengambil masa lebih daripada 10 tahun untuk menghasilkan tulang sintetik berkenaan.

"Kajian ini telah dipatenkan sampai di Malaysia, Eropah, Amerika, Korea, dan Jepun. Jadi potensi produk ini sangat bagus di mana klinikal yang dijalankan mendapati ia (tulang) menjadikan tulang bercantum dalam masa yang sangat cepat," kata Dr Baskaran.

Malah, produk itu bukan sahaja digunakan untuk membantu pesakit yang patah tulang, malah ia dikomersilkan untuk kecantikan.

"Di negara barat, ada orang yang minat mahu jadi tinggi. Kadang dia potong tulang kaki, dia tambah tulang tiruan itu, dan dia akan jadi tinggi. Nampak pelik, tetapi ia sangat biasa di negara luar," katanya.

Tulang sintetik daripada kerang ini adalah antara 10 inovasi baharu yang diperkenalkan UPM melibatkan bidang perubatan dan sains kesihatan.