Melihat dengan mata kasar, seorang gadis berusia 22 tahun dari Merlimau, di sini, tiada beza dengan gadis-gadis lain di luar sana.

Namun siapa sangka, dia sebenarnya menanggung kesakitan penyakit jantung berlubang dan perlu menjalani pembedahan dengan segera.

Siti Nur Hashim yang berasal dari Kampung Serkam Tengah menghidap penyakit itu sejak lahir dan pernah menjalani pembedahan ketika usianya lapan tahun.

Tetapi sejak lima tahun kebelakangan ini, dia sekali lagi dihimpit dengan beberapa komplikasi apabila jantungnya disahkan semakin membengkak dan kini perlu melalui pembedahan segera untuk menukar injap jantung yang menelan kos perbelanjaan RM35,000.

Katanya, mengikut jadual yang dikeluarkan oleh Institut Jantung Negara (IJN), dia perlu mendaftar untuk melakukan pembedahan sejak Julai 2016 lagi.

Bagaimanapun, kegagalan menyediakan kos pembedahan menyebabkan dia tidak mampu berbuat demikian dan terpaksa menanggung kesakitan selain kerap dimasukkan ke hospital.

“Kalau boleh saya hendak operate cepat sebab sudah tidak larat asyik masuk hospital kena ambil darah, asyik demam saja, nak buat kerja pun susah.

“Saya juga kesian tengok ibu. Ibu asyik berhutang kerana hendak uruskan rawatan saya,” katanya kepada Astro AWANI.

Ibunya, Rodziah Jaffar, 52 tahun, berkata, dia pula terlalu sedih melihat kesihatan anaknya yang disahkan semakin merudum apabila setiap kali menerima rawatan.

Katanya, pelbagai usaha telah dilakukan untuk membiayai kos pembedahan anak bongsu dari empat beradik itu, namun jumlah RM35,000 itu bukan suatu jumlah yang kecil memandangkan dia hanyalah seorang suri rumah dan bergantung hidup dengan hasil belas ihsan anak-anak yang lain.

Dengan sebak, Rodziah berkata dia juga terpaksa menjual sebuah kenderaan miliknya, namun jumlah itu hanya mampu untuk menampung kos rawatan harian anaknya.

Katanya, dia usaha untuk mendapatkan bantuan daripada pelbagai pihak dan maklum balas yang diterima semua menghampakan.

"Saya dah buntu sangat. Doktor beri tempoh hampir setahun untuk mencari kos RM35,000, tetapi saya masih tak mampu. Merata tempat saya pergi, semua jawapan tiada peruntukan. Jual kereta pun dapat hanya RM3,000 sahaja.

"Saya paling sedih apabila anak cakap 'takpelah Ibu, kalau adik takda, Ibu ingat gelak ketawa adik sahaja'. Di situ saya paling sedih. Tapi, mana lagi saya hendak cari (duit)? Sudah merata tempat saya pergi,:" katanya.

Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Rodziah di talian 014-2392324 atau memberi sumbangan menerusi akaun simpanan Bank Islam Rodziah Jaafar (04015020562520).