Seorang saksi mengesahkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa pernikahan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan isterinya Datin Seri Zizie Ezette Abd Samad adalah sah mengikut hukum syarak.

Penolong Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Abd Nasir Abdullah, 42, berkata pasangan itu bernikah pada 9 Jun 2010 dengan berwalikan abang Zizie Ezette iaitu Samzy Fuzette Abd Samad.

"Dua saksi bagi perkahwinan ini ialah Shari Ahmad dan Ahmad Shahazami dan perkahwinan pasangan ini telah didaftarkan pada 29 April 2014.

“Saya sahkan surat perakuan nikah dikeluarkan oleh pihak JAWI apabila mendapat Perintah Penghakiman daripada Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.

Saksi pertama pihak pendakwaan itu berkata demikian pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Fadhly Mohd Zamry pada perbicaraan hari pertama kes Bung Moktar dan Zizie Ezette yang masing-masing didakwa atas pertuduhan rasuah dan bersubahat rasuah membabitkan RM2.8 juta berhubung pelaburan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (Felcra).

Terdahulu sebelum perbicaraan bermula, Bung Moktar mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan pindaan yang dibacakan semula kepadanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isteri tertuduh iaitu Zizie Ezette.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan Kedua untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, di antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Ezette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Ezette mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa yang sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung esok.