Salah laku dan kecuaian dikenal pasti dalam pentadbiran YaPEIM

Salah laku dan kecuaian dikenal pasti dalam pentadbiran YaPEIM
LPA YaPEIM masih dalam perbincangan untuk menentukan formula dan kadar bonus kepada setiap staf termasuk pihak pengurusan kanan.
KUALA LUMPUR: Pihak Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah mengenal pasti beberapa kemungkinan salah laku dan kecuaian oleh pihak pengurusannya sejak beberapa tahun lepas.

Pengerusi LPA YaPEIM Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata dapatan berkenaan diperolehi daripada pemantauan serta interaksi pihak pengurusan sejak Nov lepas dan laporan audit firma PricewaterhouseCoopers (PwC) yang dilantik pada Disember 2018 bagi membuat semakan tadbir urus perolehan dan perbelanjaan.

"LPA YaPEIM berasa bimbang dengan semua dapatan ini tetapi amat gembira dapat menyelesaikan urusan penelitian ini sebaik mungkin mengikut piawaian profesionalisme yang tinggi dengan kerjasama firma PwC.

"Berhubung dengan isu-isu dibangkitkan media seperti bonus tinggi yang dinikmati oleh pengurusan kanan, isu bayaran guaman, dakwaan kerugian Ar-Rahnu dan isu-isu lain, dimaklumkan bahawa semua isu itu adalah isu lama di bawah LPA YaPEIM yang lepas.

"Sejak November 2018, pihak lembaga yayasan yang baharu telah meneliti kesemua hal berkaitan dan telah mengambil tindakan sewajarnya," katanya pada sidang media sempena Program Inspirasi Ramadan YaPEIM 2019 di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd Daud berkata pihaknya telah menstruktur semula semua jawatankuasa khusus di bawah LPA YaPEIM bagi menambahbaik tadbir urus serta memastikan semak dan imbang yang sihat.

"Pihak kami juga telah menubuhkan Jawatankuasa Perolehan buat kali pertama di peringkat LPA bagi meneliti aspek perolehan YaPEIM.

"LPA YaPEIM juga telah meneliti aktiviti dan profil setiap anak syarikat milik penuh dan syarikat di bawah kawalan dan telah membuat keputusan untuk menjadikan sebahagian besar syarikat ini dorman untuk pengurangan kos pentadbiran dan juga menstruktur semula beberapa syarikat yang mengalami kerugian," katanya.

Mohd Daud berkata pihaknya juga telah menyemak semula semua skim ganjaran peringkat jawatankuasa dan lembaga pengarah anak-anak syarikat milik penuh dan institusi di bawah kawalan YaPEIM untuk mengurangkan kos pengurusan sebanyak mungkin.

Selain itu, beliau berkata LPA YaPEIM masih dalam perbincangan untuk menentukan formula dan kadar bonus kepada setiap staf termasuk pihak pengurusan kanan.

"Pihak kami secara prinsipnya bersetuju untuk menentukan kadar bonus berdasarkan kepada prestasi setiap pekerja...formula pengiraan bonus yang terpakai sebelum ini pada tahun-tahun lepas tidak akan dipakai lagi dan akan mengambil kira prestasi kewangan semasa dan keadaan ekonomi negara," jelasnya.

Mengulas mengenai Program Inspirasi Ramadan 2019, beliau berkata sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi membantu 5,200 keluarga miskin dan 14,000 individu yang terdiri daripada anak yatim dan miskin.

Baru-baru ini dilaporkan RM1 juta daripada dana anak yatim yang diamanahkan kepada YaPEIM telah digunakan bagi membayar yuran guaman peguam yang juga pembantu kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu media juga melaporkan YaPEIM mengalami kerugian RM12 juta menerusi skim gadaian emasnya melibatkan 1,000 pelanggan projek gadaian Islam Ar-Rahnu.

-- BERNAMA