Bakal Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub menganggap pelantikannya sebagai satu bentuk kepercayaan tertinggi dari Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Salahuddin memaklumkan beliau cukup berbesar hati menerima pelantikan itu dan berjanji akan menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menerajui kementerian ini.

"Saya akan meneliti segala dasar dan pelaksanaan kementerian terbabit terlebih dahulu sebelum mengumumkan penambahbaikan yang akan dibuat untuk memastikan bidang pertanian dan perikanan mampu memberi sumbangan besar kepada negara," kenyataan itu menyebut.

Salahuddin antara sembilan menteri Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri petang tadi.

Antara yang tersenarai adalah Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia dan Ahli Parlimen Simpang Renggam dan bekas Profesor Madya di Jabatan Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pelajaran.