Semua sumbangan atau bantuan dana kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) hanya boleh disalurkan menerusi laman web rasmi.

Pengerusi Kebangsaan BSMM, Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah berkata, ia bagi mengelakkan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“BSMM ingin menegaskan bahawa persatuan kami tidak membuat sebarang kutipan derma dan juga tidak menganjurkan sebarang program seperti yang didakwa dalam mesej palsu itu (yang dihantar melalui e-mel kepada pihak tertentu).

“Kami sekerasnya-kerasnya menolak tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan orang awam sebagai mangsa terutama ketika negara berdepan situasi sukar untuk kepentingan diri sendiri,” kata Tunku Puteri Safinaz dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai penyalahgunaan nama beliau oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memperdayakan masyarakat melalui penghantaran e-mel tertentu dipercayai bagi meminta sumbangan kewangan.

Difahamkan, e-mel itu berhubung permintaan penghantar untuk memindahkan sejumlah wang kepada nombor akaun bank yang kononnya bertujuan untuk membantu program anjuran BSMM dalam menyediakan ‘kit keselamatan’ pandemik COVID-19.

BACA: Semak Fakta: Emel guna nama Tunku Temenggong Kedah disalah guna untuk penipuan

Dalam pada itu, Tunku Temenggong Kedah itu turut mengingatkan rakyat untuk lebih berwaspada dengan sindiket penipuan yang mahu mengambil kesempatan ke atas orang lain.

Mengulas Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini, beliau berkata BSMM terus komited dalam menyokong usaha mengekang COVID-19 dan sentiasa bersedia untuk membantu pasukan tindakan kecemasan dalam usaha pencegahan.

“Pegawai Ambulans Bulan Sabit Merah bersedia membantu Hospital Selayang selain Institusi Bulan Sabit Merah dalam memberikan latihan dan kesedaran kepada ahli-ahli BSMM dan masyarakat menerusi media sosial,” katanya.

Tambah beliau, ibu pejabat kebangsaan BSMM akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Pergerakan Kawalan.