Malaysia mempunyai ramai penulis atau sasterawan yang hebat dan layak untuk diketengahkan sebagai pemenang Anugerah Nobel.

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berpendapat pihak berwajib sepatutnya berusaha membawa karya-karya sasterawan negara ke tahap yang lebih tinggi hingga layak untuk dicalonkan sebagai pemenang Anugerah Nobel.

Menurut Johan, antara sasterawan negara yang layak untuk diketengahkan sebagai pemenang anugerah nobel ialah Datuk Seri A Samad Said.

"Saya tidak menafikan kehebatan sasterawan-sasterawan negara yang lain namun ada dua nama yang pada saya layak iaitu Samad dan Datuk Baha Zain.

"Dua nama ini merupakan lagenda dalam kesusasteraan kita, tetapi adakah kita sudah melakukan yang secukupnya untuk mereka?

"Tumpuan kita terlalu banyak kepada sastera terbitan tempatan yang berkokok dalam kelompok kita, tetapi kita tidak memberikan perhatian kepada kemenangan karya-karya ini di peringkat antarabangsa.

"Kalau ditanya siapa layak untuk menang anugerah nobel, saya boleh bagi beberapa nama. Salah satu ialah Samad, tetapi untuk mencapai tahap itu, ada proses tertentu," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau tidak menafikan ketokohan sasterawan-sasterawan negara yang lain tetapi tegas beliau Samad mempunyai karya-karya hebat yang perlu diketengahkan.

Johan menjelaskan usaha mengangkat tokoh sastera sebagai pemenang anugerah nobel patut dilakukan kerana tradisi kesusasteraan melayu bermula sebelum malaysia merdeka.