Penduduk di sekitar kawasan Puchong, Subang dan Shah Alam kini mempunyai mod pengangkutan awam alternatif dengan pembukaan sambungan jajaran LRT laluan Kelana Jaya dan Ampang.

Jajaran sambungan ini akan memulakan operasinya selepas perasmiannya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak 30 Jun ini.

Stesen SS15 Laluan Kelana Jaya - Gambar ihsan Prasarana

Penambahan laluan sebanyak 35 kilometer yang menelan kos RM8 bilion ini akan meliputi kawasan perumahan berkepadatan tinggi di Bandar Kinrara, Puchong, Subang Jaya dan USJ.

Projek ini bakal membawa manfaat kepada jutaan penduduk Lembah Klang bagi menikmati pengalaman perjalanan yang lebih mudah dan selesa.

Dari Kiri: Azmi, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Ahmad Nizam Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Praise Dato' Zohari Sulaiman menaiki tren dari Putra Heights ke Lembah Subang. - Gambar ihsan Prasarana

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd Datuk Azmi Abdul Aziz, sambungan LRT kedua-dua laluan ini akan mendekatkan kemudahan pengangkutan awam dengan rakyat.

"Kawasan ini merupakan kawasan tumpuan pembangunan dan kita lihat kepadatan penduduk telah pun meningkat dari tahun ke tahun. Oleh itu ianya juga menarik lebih ramai lagi penduduk untuk menikmati kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan.

"Apabila keberatan penduduk meningkat, kita dapati bahawa ianya ada peluang untuk meningkatkan lagi kegiatan ekonomi dan dengan kemudahan yang kita sediakan ini akan memberi peluang kepada penduduk kawasan setempat untuk membantu memacukan lagi agenda ekonomi bagi Kuala Lumpur," katanya semasa memberi taklimat kepada media mengenai operasi sambungan jajaran LRT di stesen LRT Putra Heights di sini pada Isnin.

Stesen Lembah Subang laluan Kelana Jaya. - Gambar ihsan Prasarana

Projek sambungan jajaran LRT ini akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam bersepadu dengan akses dan hubungan lebih mudah antara pusat bandar dan kawasan Subang, Puchong, Putra Heights dan Shah Alam.

Antara lain ia juga akan meningkatkan kemudahan perjalanan untuk memenuhi keperluan orang awam melalui penggunaan rangkaian yang bersepadu, cekap dan boleh dipercayai.

Stesen SS18 laluan Kelana Jaya. - Gambar ihsan Prasarana

Di samping itu, sambungan ini kata Azmi akan turut memberi alternatif kepada pengguna kenderaan persendirian untuk menyediakan pasaran pengangkutan awam yang lebih seimbang dan mampan bagi Lembah Klang.

Tambahnya, penambahan 12 stesen di laluan Kelana Jaya dan 13 di laluan Ampang, dijangka meningkatkan jumlah penumpang masing-masing kepada 170,000 dan 130,000 orang sehari.

Stesen Putra Heights Laluan Kelana Jaya & Ampang - Gambar ihsan Prasarana

Stesen Putra Heights yang baru siap menjadi titik pertemuan bagi jajaran sambungan ini dapat memendekkan masa perjalanan ke pusat bandar.

Ini seterusnya akan menyumbang secara langsung kepada peningkatan produktiviti dan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Prasarana akan mentransformasikan Stesen Putra Heights sebagai struktur ikonik bagi LRT berdasarkan reka bentuknya yang unik selain lokasinya yang strategik.

Azmi berkata ia akan mengenal pasti inisiatif baharu untuk menyerlahkan reka bentuk stesen itu pada waktu siang dan malam, namun mengekalkan bajet RM8 bilion untuk projek terbabit.

Lapan daripada 11 stesen baharu bagi Laluan Ampang sudah beroperasi sejak beberapa bulan lepas, dibuka lebih awal bagi memenuhi keperluan mendesak untuk pengangkutan awam yang mengenakan tambang berpatutan dalam kawasan bandar.

Tiga lagi stesen, Puchong Perdana, Puchong Prima dan Putra Heights, serta 12 stesen baharu yang lain bagi Laluan Kelana Jaya akan mula beroperasi Khamis ini.

Orang awam boleh mula menggunakan perkhidmatan sambungan jajaran LRT ini bermula jam 6.00 pagi Khamis.