Umat Islam hari ini menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul tahun ini dengan acara perarakan dan berselawat sambil memperingati pengorbanan Nabi Muhammad SAW dalam memperjuangkan Islam.

Sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan 'Negara Rahmah Ummah Sejahtera', disambut secara sederhana di seluruh negara dengan penuh keinsafan dan penghayatan.

Di ibu negara, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat pada sambutan Maulidur Rasul 1441 Hijrah/2019 peringkat kebangsaan yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, pagi tadi.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Seramai 8,000 peserta daripada 100 kontinjen terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform dan penuntut institut pengajian tinggi dan pelajar sekolah menyertai perarakan yang bermula 7.45 pagi.

Di SARAWAK, sambutan hari penuh bermakna umat Islam itu dimulakan dengan amanat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang menyifatkan sambutan hari ini sebagai tanda kesyukuran atas anugerah seorang Rasul terakhir utusan Allah untuk manusia sejagat.

"Biarpun baginda telah wafat, namun perjuangan baginda menyebarkan ilmu, kedamaian, keadilan dan kebaikan tidak akan terhenti begitu sahaja, sebaliknya ia akan tetap diteruskan oleh kita selaku umat baginda," katanya.

Usai ucapan itu, Abang Johari seterusnya mengetuai perarakan bersama lebih 11,000 peserta daripada 279 kontinjen yang diadakan di sekitar bandar raya Kuching melibatkan dua laluan yang keseluruhannya sejauh 7.7 kilometer.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mengetuai perarakan Sambutan Maulidur Rasul 1441H/2019 peringkat negeri yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini, pada pukul 9 pagi tadi.

Turut berkenan berarak Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al-'Abidin.

Peserta perarakan disertai 93 kontinjen terdiri daripada jabatan kerajaan, badan beruniform dan badan bukan kerajaan melibatkan 3,000 peserta yang mula berkumpul di Padang MPS sekitar 7 pagi menuju ke padang Sekolah Menengah Kebangsaan King George V Seremban dengan jarak sejauh 600 meter.

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri yang dihadiri lebih 500 orang di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Di MELAKA, seramai 5,100 peserta daripada 93 kontinjen menyertai perarakan sejauh 2.5 kilometer bermula dari Stadium Hang Tuah ke Dataran Pusat Islam, Bukit Palah dengan diketuai Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

Daripada jumlah itu, 61 kontinjen melibatkan 3,069 peserta daripada agensi kerajaan dan swasta, 15 kontinjen dengan kekuatan 1,210 orang daripada pelbagai pertubuhan dan persatuan serta 17 kontinjen melibatkan 821 pelajar sekolah.

Di TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1441 Hijrah/2019 peringkat negeri di Stadium Negeri.

Pasangan diraja itu diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri Datin Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.

Terdahulu, seramai 1,710 peserta daripada 30 kontinjen terdiri daripada kakitangan kerajaan persekutuan dan negeri, badan beruniform, sekolah, institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan menyertai perarakan bersempena sambutan Maulidur Rasul kali ini.

Di SABAH, Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni berkenan menyertai perarakan dari Sutera Avenue hingga ke perkarangan Masjid Negeri bersama 8,000 peserta daripada 74 kontinjen.

Terdahulu dalam ucapannya, Juhar berkata generasi muda pada hari ini perlu menjadikan pemikiran inovatif sebagai budaya bagi meningkatkan daya saing sekali gus membangunkan tahap ekonomi rakyat demi kepentingan umat dan negara bangsa.

Di PULAU PINANG, kira-kira 1,000 peserta daripada kontinjen pelbagai agensi, jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan kariah masjid menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Al-Ihsaniah, Simpang Ampat Seberang Perai Selatan.

Perarakan sejauh dua kilometer bermula dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Impian ke masjid tersebut turut disertai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Abdul Razak Jaafar.

Di KEDAH, sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri berlangsung di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di Alor Setar. Turut berangkat meraikan sambutan itu ialah Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Turut sama berangkat Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan merasmikan majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Stadium Malawati.

Turut mengiringi baginda, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Menteri Besar Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.

Terdahulu sebelum majlis perasmian, Tengku Amir bersama kira-kira 3,850 peserta daripada 77 kontinjen melibatkan pelbagai jabatan dan agensi menyertai perarakan Maulidur Rasul sejauh 2.3 kilometer, bermula dari Stadium Mini Seksyen 13 sehingga ke Stadium Malawati.

-- BERNAMA