Rakyat Malaysia perlu menggunakan sambutan Tahun Baharu Cina sebagai platform untuk menunjukkan kesepaduan dan perpaduan kaum di negara ini masih utuh, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata ini penting bagi menunjukkan bahawa tindakan sesetengah pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman dan agama adalah gagal dan ditolak oleh rakyat.

"Ada pihak cuba memecahkan perpaduan kaum di negara ini, mereka gunakan isu perkauman dan agama kerana mereka tiada modal, kita perlu bersatu padu dan bekerjasama dengan kerajaan agar kerajaan dapat membawa perubahan yang menguntungkan rakyat," katanya.

Dr Xavier yang juga Ahli Parlimen Langat berkata demikian semasa berucap pada program bersempena sambutan Tahun Baharu Cina 2020 di Jenjarom di sini, pada Rabu.

Turut hadir pada program yang turut dimeriahkan dengan tarian singa dan nyanyian itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Banting Lau Weng San.

Beliau berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana masyarakatnya yang berbilang kaum bersama-sama meraikan hari perayaan kaum yang lain.

"Sudah menjadi kebiasaan masyarakat negara ini untuk bersama-sama meraikan hari perayaan kaum lain," katanya.

-- BERNAMA