JEMAAH terkandas akibat Visa Furada tidak lulus sudah tentu sering didengar ketika musim haji.

Meskipun Tabung Haji (TH) sudah tidak dikaitkan dengan Visa Furada sejak tahun lalu sepertimana yang dimahukan Kerajaan Arab Saudi, masalah yang sama terus berlarutan sehinggakan ramai jemaah menjadi mangsa.

Astro AWANI bertemu dengan beberapa jemaah haji yang terkandas ketika mereka baru tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) akibat visa tidak sah.

Salah seorang mangsa yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah memberitahu, dia terkejut apabila pihak imigresen negara itu menyatakan visanya menunjukkan identiti individu lain ketika diimbas.

“Orang suruh balik kami baliklah. Muka orang lain, jadi visa pasport kita pihak imigresen imbas tiga kali. Apabila mereka imbas sekali tengok muka orang lain dan visa itu dah diguna pakai oleh orang lain. Individu itu bukan orang Malaysia, ada antara mereka rakyat Indonesia dan Nigeria,” kata seorang bakal jemaah, Sabariah Osman,.

Dia amat kesal dengan isu yang menimpanya lebih-lebih lagi setelah semua itu melibatkan bayaran sekitar RM33,000 bagi setiap jemaah.

Bagaimanapun, Sabariah tidak menunding jari terhadap syarikat pelancongan berkenaan sebaliknya mendakwa wujud permasalahan pada pihak yang mengeluarkan visa terbabit.

BACA: 26 rakyat Malaysia terkandas di Jeddah

BACA: Jemaah haji terkandas, lesen agensi pelancongan boleh dibatalkan

Cerita yang sama dikongsi Muhammad Alif Qayyum apabila mak mertuanya turut menjadi mangsa.

"Ada yang memberi kami pakej RM30,000-RM50,000... yang mana visa yang diberikan kepada kami adalah Visa Furada. Pada hari Isnin 2.35 petang, 26 jemaah telah ke sana dan 'diangkut' dua hari. Malah dalam media sosial Whatsapp juga macam macam mereka kata, jangan baliklah, tetapi kami dapat kenal pasti ia visa palsu," katanya.

Hal yang membuatkan dirinya lebih marah adalah apabila ibu mertuanya telah membuat bayaran tambahan berjumlah RM7,000 bagi mendapatkan kuota Haji Raja Salman.

Sementara itu, syarikat pelancongan yang terlibat dalam pengurusan jemaah itu berkata, masalah sistem adalah antara punca utama kesemua jemaah haji itu terkandas.

“Sebenarnya situasinya (adalah) sebab mereka (jemaah) sekarang ini tidak dapat keluar daripada Lapangan Terbang di Jeddah. Disebabkan masalah dalaman sistem (Arab Saudi) iaitu nama jemaah tidak ada. Itu yang kami faham setakat ini, kami telah buat laporan polis berkenaan kejadian ini.

“Mereka (polis) tidak mahu ulas banyak kerana takut menganggu siasatan, sebab selepas kami dapat tahu perkara ini berlaku kami terus ambil tindakan,” jelas Pengarah Hajar Sazrul Travel & Tour, Mohd Sazrul Ikram Rozlan.

Kesemua 26 jemaah haji yang terkandas telah kembali dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Rabu.

BACA: Selamat berlepas ke Jeddah, Neelofa bersyukur dapat selesaikan isu visa