Hasil ujian Sampel B milik pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei disahkan positif dadah jenis 'dexamethasone', menurut laporan Astro ARENA

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan membuat pengumuman rasmi mengenai ujian doping Sampel B milik ikon badminton negara itu dalam sidang media di Ibu Pejabat BAM di Bukit Kiara pada jam 2 petang ini.

Sidang media itu dijangka diketuai oleh Timbalan Presiden BAM, Datuk Norza Zakaria.

Sebelum ini Chong Wei diiringi Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz dan Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh ke Oslo, Norway untuk menyaksikan analisis ujian Sampel B di makmal Hospital Universiti Oslo pada 5 November lalu.

Menurut laporan Astro ARENA, pemain kelahiran Pulau Pinang itu meminta semua pihak memberinya masa dan begitu juga dengan kerjasama daripada pihak media.

Dia mengakui begitu tertekan sejak dikaitkan dengan isu doping ini, dan sehubungan itu berharap pihak Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz dapat membantunya mengenal pasti dari mana punca bahan terlarang itu.

"Saya telah beraksi sebagai pemain nombor satu dunia dalam 100 hingga 200 pertarungan dan tidak pernah diuji positif. Inilah kali pertama saya diuji positif.

"Saya yakin telah bekerja keras untuk menang," katanya kepada Astro ARENA.

"Saya nak balik ke gelanggang. Semua orang risau dan percayakan saya. Saya harap menteri (Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar) membantu saya.

"Sudah sebulan saya tidak pernah tertekan seperti ini. Saya harap isu ini diselesaikan dengan segera." tambahnya lagi.

Chong Wei dilaporkan positif ujian doping bagi Sampel A iaitu ujian air kencing yang dilakukan secara rambang semasa Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lalu.

Beliau dikatakan terbabit dalam skandal doping selepas disahkan positif menggunakan bahan terlarang 'dexamethasone' semasa ujian dijalankan.