Seorang Penolong Jurutera Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor pengsan selepas terdapat sampel sisa toksik didalam makmal jabatan itu bocor.

Mangsa lelaki berumur 30-an itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dengan kenderaan
orang awam.

Pegawai Bomba Kanan II Unit HAZMAT Johor, Mohd Hairinizam Mostapa berkata pihaknya menerima panggilan dari JAS mengenai perkara itu pada pukul 4.28 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama sembilan anggota dengan tiga jentera.

Katanya ketika dilokasi di pejabat JAS yang terletak di Pusat Perdagangan Utama terdapat kebocoran sampel sisa toksik di dalam makmal JAS.

"Terdapat seorang mangsa telah pengsan dan dihantar ke hospital oleh orang awam. Pihak Bomba telah mengarahkan pegawai JAS untuk membuat pengungsian bangunan.

"Pasukan HAZMAT telah berada di lokasi dan membuat penyahcemar serta membuat kekangan terhadap sisa toksik tersebut dari merebak.

"Jenis bahan kimia masih belum dapat pengesahan atau pengecaman dibuat setakat ini. Siasatan masih dijalankan," katanya ketika dihubungi.

Operasi tersebut tamat pada jam 6.53 petang Khamis.