Seorang wanita parah dipercayai ditikam seorang lelaki dalam kejadian samun di kawasan kebun betik, Kampung Tengah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa berusia 30-an sempat menghubungi majikannya sebelum ditemui dalam keadaan berlumuran darah.

"Saksi sempat mendengar perbualan mangsa dan suspek sebelum talian diputuskan. Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Beruas sebelum dirujuk ke Hospital Seri Manjung.

“Abang mangsa yang berada di tempat kejadian memaklumkan seorang lelaki dipercayai warga Indonesia telah meminta wang dan cuba membuka seluar mangsa,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan, mangsa ditikam tiga kali di bahagian kanan dan kiri perut serta lutut kiri.

Susulan itu, polis menjalankan gerakan menjejak suspek.

Muhammad Hanif berkata, lima lelaki warga Indonesia ditahan di sebuah rumah kongsi berhampiran.

“Kesemua suspek ditahan pada jam 1 pagi hari ini. Mereka dibawa ke balai polis untuk soal siasat,” katanya.