Suspek kes samun seorang wanita di Sistem Aliran Massa MRT di Cheras 14 Februari lalu cuba mengubah penampilan diri ketika ditangkap.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, suspek berusia 26 tahun itu sedang mencukur rambut ketika diserbu di rumahnya di Pangsapuri Taman Cheras pada malam isnin.

“Pihak kita (polis) telah memburu suspek berkenaan, kita dah dapat maklumat mengenai identiti suspek pihak kita pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Berat D9 Ibu Pejabat Polis Cheras kira kira jam 8.10 malam telah pergi ke sebuah pangsapuri Taman Cheras. Dia (suspek) sewa rumah itu daripada seorang lelaki Cina dengan sewa RM600 sebulan.”

“Pasukan telah ke premis terbabit dan berjaya menangkap suspek. Ketika itu, suspek sedang mencukur rambut dipercayai cuba mengaburi pihak polis daripada dikesan," jelasnya.

Pemeriksaan di Premis terbabit membawa kepada penemuan 19 buah telefon bimbit pelbagai jenama, beberapa keping kad bank dan peralatan dipercayai digunakan bagi jenayah samun dan pecah masuk.


Saringan air kencing keatas suspek mendapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphatamine.

Suspek juga mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan samun.

Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai telah melakukan jenayah samun di sebuah kedai serbaneka 24 jam berhadapan Stesen MRT berkenaan sebelum menyamun mangsa.

“Suspek ini pada jam 6.30 pagi telah ke sebuah kedai serbaneka 24 jam dan melakukan samun disitu dengan mengambil 11 buah kotak rokok sebelum diletakkan ke dalam bakul motosikal miliknya.”

samun, mrt

“Pada masa yang sama, suspek telah melihat mangsa berjalan seorang diri di Stesen MRT Pintu B dan bertindak mengekori mangsa sehingga ke dalam lif sebelum menyamun mangsa," ujarnya.

Ujarnya, pemeriksaan ke atas tubuh suspek menemui Tatu dipercayai anggota ahli kongsi gelap 'Geng 08'.

Suspek direman selama 7 hari sehingga 25 Februari depan dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun penjara atau denda atau sebatan.