Berbaki kurang seminggu sebelum lebih 40,000 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, calon-calon bebas pada PRK ini terus berdepan cabaran.

Bukan sahaja kekurangan sumber kewangan bagi menggerakkan jentera turun berkempen, isu pemilikan permit juga menjadi antara cabaran mereka.

Bagi Hamzah Abdullah yang telah tewas enam kali pada pilihan raya yang lalu, proses kelulusan permit yang ditetapkan selama 48 jam baginya terlalu lama.

“Kelulusan permit memang satu masalah besar kepada kami terutamanya untuk ceramah di kawasan perumahan yang terletak di bawah bidang kuasa MPS (Majlis Perbandaran Sandakan) ini, memang payah.

“Tetapi sepatutnya kita dalam kerajaan baharu ini, kita buang segala bentuk penindasan termasuk menafikan hak kita untuk mendapat peluang yang sama seperti calon DAP.

“Kalau DAP boleh dapat permit dalam sekelip mata, kenapa kita perlu tunggu 48 jam?” soalnya ketika ditemui Astro AWANI sewaktu berkempen dari rumah ke rumah di kawasan perumahan air, Kampung Sim Sim.

Hamzah (tiga, kiri) bersama jentera kempennya turun melakukan walkabot di sekitar Kampung Sim Sim. Astro AWANI

Akur dengan ketetapan tersebut, calon yang menggunakan simbol pokok ini tidak mahu melanggar undang-undang, lantas terpaksa membatalkan beberapa siri kempen, termasuk ceramah umum.

Dalam pada itu, calon bebas yang menggunakan simbol kerusi, Sulaiman Abdul Samat mengakui beliau berdepan isu kewangan.

“Calon bebas ini kena berhadapan dengan bahan kempen. Bahan kempen kita ini tidak seberapa, kerana kita mempunyai modal yang sedikit, kerana kita peroleh modal daripada keluarga dan sahabat handai.

“Kita bukan dapat (modal) daripada penaja besar seperti pemilik ladang atau ahli perniagaan. Kita bergantung kepada modal sendiri untuk bahan kempen sahaja,” katanya kepada Astro AWANI.

Sulaiman bersalaman dengan para pengundi di Parlimen itu. Astro AWANI

Bagaimanapun, usaha Astro AWANI untuk mendapatkan reaksi seorang lagi calon bebas, Chia Siew Yung gagal akibat kekangan masa yang mendepani calon tersebut.

Perjalanan kempen yang berlangsung di PRK Sandakan ini tidak semeriah berbanding beberapa siri-siri PRK yang berlaku pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Malah, perang poster dan bendera yang seringkali menjadi tumpuan pada setiap pilihan raya juga lebih tertumpu di beberapa pekan kecil seperti di pekan Batu 4.