Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun menyifatkan peratusan keluar mengundi pada 12 peratus setakat jam 9 pagi tadi merupakan petanda baik meskipun berdepan dengan cabaran bulan Ramadan.

Beliau yang mengadakan tinjauan di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Tanjung Papat 1, Jalan Buli Sim-Sim menjangkakan trend keluar mengundi menjelang tengah hari akan berubah.

Pada masa sama, Azhar mendedahkan tiada kebimbangan sekiranya melihat kepada jumlah peratusan keluar mengundi setakat ini.

"Saya rasa ok. Setakat jam 9, kita masih ada lagi 9 jam lagi, lagi pun hari ini bulan puasa, mungkin orang lepas sahur tidur lagi, saya rasa 12 peratus pada jam 9 pagi adalah peratusan yang ok," katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Mengulas perjalanan proses mengundi di seluruh pusat pengundian pada pagi ini, Azhar berkata, tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku dan semua pihak dilihat memberikan kerjasama dalam memastikan kelancaran PRK Parlimen Sandakan.

"Perjalanan pada pagi ini begitu lancar. Tidak ada insiden-insiden serius berlaku, tidak ada insiden menggangu kententeraman awam dan sebagainya.

"Barong panas pun saya belum terima laporan adanya barong panas, dan tiada lagi perhimpunan penyokong yang bersorak, yang buat provokasi, pihak yang sebelah lagi. Saya rasa pengundi dan parti yang terlibat di sini (Sandakan) amat berdisiplin, dan tidak melanggar apa-apa undang-undang peraturan pilihan raya, " katanya lagi.

Bagi SK Sri Tanjung Papat 1 mempunyai lima saluran pengundian dan lokasi tersebut merupakan antara pengundi bumiputera Islam yang teramai bagi PRK Parlimen P. 186 Sandakan kali ini.