Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sementara legenda bola sepak negeri itu, Muhammad Radhi Mat Din pula menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Presiden KFA.

Pengumuman kedua-dua jawatan terbabit dibuat selepas satu Kongres Luar Biasa (EGM) KFA 2020 yang turut melibatkan ahli eksekutif dan ahli gabungan persatuan bola sepak itu yang diadakan di Wisma Darul Aman, pada Ahad.

Melalui pelantikan ini, Muhammad Sanusi menjelaskan, antara fokus utama yang akan diberi perhatian adalah akan sedaya upaya mencari jalan penyelesaian kepada masalah kewangan yang dihadapi termasuk tunggakan gaji para pemain.

Beliau turut optimis dengan sasaran KFA yang ditetapkan ketika permulaan musim bagi mengekalkan satu piala bagi tahun 2020 selain mencabar kedudukan terbaik dalam Liga Super Malaysia.

"Insya-Allah semua pasukan yang ada ini khususnya jawatankuasa eksekutif KFA akan bekerja keras untuk mengatasi semua cabaran yang akan datang ini.

"Saya ucap terima kasih atas kepercayaan ini dan mohon kerjasama semua pihak untuk terus kekal bersemangat untuk membawa sukan bola sepak Kedah ke mercu kejayaan pada sesi ini," kata beliau.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi menjelaskan telah mempunyai beberapa nama untuk dicalonkan bagi mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Kehormat KFA dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

Awal Jun lalu, pihak KFA mengesahkan telah menerima surat perletakan secara rasmi Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah daripada jawatan Presiden KFA.

Persatuan bola sepak itu turut menerima perletakan jawatan bekas Naib Presiden, Anas Hafiz Mustaffa serta bekas Setiausaha Kehormat yang juga bekas Exco Belia dan Sukan Kedah, Asmirul Anuar Aris.