Selepas 55 jam terperangkap di dalam kapal korek pasir yang terbalik di perairan Parit Jawa, Muar, seorang daripada 14 mangsa berjaya diselamatkan.

Mangsa dibawa ke jeti pangkalan nelayan Pantai Leka, sekitar 3.20 petang tadi dengan menggunakan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Astro AWANI difahamkan mangsa ditemui pasukan penyelamat di bahagian dalam kapal berkenaan.

Bagaimanapun identiti mangsa yang berjaya diselamatkan belum dikenal pasti manakala usaha mengesan 13 lagi anak kapal yang terperangkap giat dijalankan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar untuk rawatan lanjut.

Satu sidang media dijangka diadakan oleh pihak Maritim Malaysia.

Kapal korek pasir JBB Rong Chang 8 dengan 18 orang anak kapal itu terbalik di kedudukan 8.5 batu nautika dari jeti pangkalan sekitar 7.50 pagi Rabu.

BACA: Seorang lemas, 11 kru kapal korek pasir hilang di perairan Muar

Tiga mangsa ditemui selamat, manakala seorang daripadanya disahkan mati lemas.