Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) kapal korek pasir yang dilaporkan terbalik di perairan Parit Jawa hari kedua menunjukkan tanda-tanda positif apabila pasukan SAR menerima respon daripada mangsa yang terperangkap.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, pasukan penyelamatan dan para penyelam yang dihantar ke lokasi kejadian mendengar mangsa membalas ketukan lantai kapal terbabit.

Menurutnya, pihaknya kini dalam perancangan sama ada akan memotong ruang belakang kapal itu bagi membawa keluar mangsa.

Pasukan penyelamat Maritim Malaysia meninjau kapal korek pasir itu hari ini.

Namun kata beliau, ia merupakan langkah terakhir diambil pihaknya memandangkan rancangan itu dilihat berbahaya kerana kedudukan kapal yang condong selain kesemua mangsa dipercayai duduk di bahagian belakang kapal.

"Sebelum memotong bahagian belakang, kita akan bawa kapal itu ke tempat yang cetek dahulu. Apa yang paling baik adalah posisikan semula kapal itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut jelasnya ketika ini, Kapal Korek JB Rong Chang sedang ditunda dan hampir tiba ke kawasan cetek pertama yang berada pada kedalaman 18 meter.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan, sebuah Kapal Korek Pasir JB Ring chang 8 yang membawa 18 anak kapal terbalik di kedudukan 8.5 batu nautika dari Jeti Nelayan Pantai Leka, Parit Jawa, sekitar 7.50 pagi semalam.

Tiga mangsa ditemui selamat, seorang lemas manakala 14 lagi masih terperangkap.