Tutup

Saranan pembubaran Parlimen tidak kena pada tempatnya - Penganalisis

Saranan pembubaran Parlimen tidak kena pada tempatnya - Penganalisis
Terdahulu, BN memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai menerusi calonnya dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dengan majoriti besar, 15,086 undi selepas memperoleh 25,466 undi mengatasi lima pencabarnya. Foto: Astro AWANI / Shahir Omar
KUALA LUMPUR : Saranan pembubaran Parlimen oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri disifatkan sebagai tidak bersesuaian, malah kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai tidak membuktikan kejayaan Muafakat Nasional.

“Pembubaran Parlimen yang diminta Ketua Pembangkang suatu yang tidak kena pada tempatnya," ujar penganalisis politik, Prof Madya Hamidin Abd Hamid.
Menurut beliau, Pakatan Harapan tidak melihat kekalahan di Tanjung Piai sebagai satu tanda mereka sudah tewas sehingga akan berlakunya pembubaran Parlimen.

“Bagi BN pula, kemenangan Tanjung Piai itu tidak semestinya bukti kejayaan Muafakat Nasional yang sehingga kini masih lagi tidak mempunyai rencana yang jelas,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan itu.
Dalam pada itu, Hamidin turut menyatakan kekalahan PH pada Sabtu lalu akan membawa perubahan positif dalam pentadbirannya.

Ini kerana jelasnya, PH akan meniliti semula kesilapan mereka sehingga menyebabkan kekalahan besar.

BACA: Tanjung Piai ibarat referendum kecil kepada PH - Ahmad Zahid



“Keputusan Tanjung Piai sudah tentu akan memberikan satu kejutan dan kejutan itu saya kira akan membawa satu perubahan positif kepada kerajaan PH.

“Ini kerana mereka akan lihat kembali dan mereka perlu melihatnya secara telus dan jujur apakah kelemahan dan apakah kesilapan serta apa yang mereka perlu lakukan untuk memastikan pentadbiran kerajaan PH ini memberi nafas baru kepada rakyat Malaysia.

“Kedua, sejauh mana usaha yang telah dilakukan ini membuahkan hasil dan akan memberikan kesan dalam masa terdekat kepada rakyat,” jelasnya.


Pada Ahad, Ismail menggesa Parlimen dibubarkan kerana mendakwa PH kalah teruk pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

BACA: Kerajaan perlu bubar Parlimen - Ketua Pembangkang

Terdahulu, BN memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai menerusi calonnya dari MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dengan majoriti besar, 15,086 undi selepas memperoleh 25,466 undi mengatasi lima pencabarnya.

Pesaing terdekatnya, calon PH dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Karmaine Sardini mendapat 10,380 undi, manakala calon Gerakan, Wendy Subramaniam dengan 1,707 undi.


Tag: PRK Tanjung Piai, Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Ketua Pembangkang, Datuk Ismail Sabri, Muafakat Nasional



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.