Sarawak hari ini catat 18 kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu sebanyak 306 kes.

Daripada jumlah itu 14 kes dirawat di Hospital Umum Sarawak, tiga kes di Hospital Sibu dan satu kes di Hospital Miri.

Manakala kes baharu individu di bawah siasatan (PUI) adalah sebanyak 67 kes menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,864 kes.

Selain itu pada sidang media tersebut, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan, bekalan reagen di negeri itu mencukupi.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan bekalan itu cukup sekali gus mampu membuat ujian saringan kepada individu yang terdedah COVID-19.

"Pada masa ini, kita membantu KKM menyediakannya (reagen). Kerajaan negeri membantu dari segi kewangan selain bantuan juga diterima pihak swasta.

"Semalam, kita dapat melihat RM10.9 juta sumbangan daripada pihak swasta dalam usaha menangani wabak ini," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sarawak di Wisma Bapa Malaysia.

Dalam pada itu, mengulas mengenai keputusan kerajaan negeri membenarkan kedai perkakasan rumah, kedai alat tukar ganti, kedai kelengkapan pertanian dan bengkel kereta dibuka, Abdul Karim menjelaskan ia adalah keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

"Kita akur dengan keputusan itu dan akan membenarkan mereka membuka setiap Selasa dan Khamis," katanya.