Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Sarawak catat dua kes positif COVID-19 terbaharu di Kuching

Sarawak catat dua kes positif COVID-19 terbaharu di Kuching
Justeru, pengesanan kontak telah dijalankan dan kesemua kontak kedua-dua kes ini telah dikenalpasti. FOTO: Astro AWANI
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini melaporkan dua kes positif COVID-19 terbaharu dilaporkan di Kuching, Sarawak melibatkan warga tempatan.

Pertambahan dua kes terbaharu ini menjadikan jumlah kes positif di negeri itu meningkat kepada 575 kes setakat ini.

Menerusi kenyataan dikeluarkan JPBN Sarawak pada Jumaat, kes ke-574 melibatkan seorang lelaki yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) sejak 5 Julai lalu.

“Mangsa dilaporkan mengalami sesak dan kelesuan sejak 1 Julai 2020 dan telah dimasukkan ke wad isolasi. Kes juga merupakan pesakit Diabetes Melitus dan mengalami masalah darah tinggi.
“Menerusi ujian makmal RT-PCR COVID-19 mendapati mangsa disahkan positif pada 9 Julai 2020,” tambah kenyataan itu.

Manakala kes ke-575 melibatkan seorang wanita yang bekerja di sebuah syarikat konsultan kejuruteraan di Kuching.
Mangsa dilaporkan mendapatkan rawatan HUS pada 7 Julai 2020 dan dimasukkan ke wad perubatan perempuan kerana mengalami sakit dada dan batuk kering.

Saringan awal COVID-19 pada 7 Julai 2020 mengesahkan dia positif untuk ujian RTK Antibody dan menerusi ujian makmal RT-PCR COVID-19 mendapati dia disahkan positif pada 9 Julai 2020.

Kedua-dua kes ini merupakan kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang berkemungkinan mendapat jangkitan tempatan kerana kedua-dua mereka tiada sejarah perjalanan ke luar negara.

Justeru, pengesanan kontak telah dijalankan dan kesemua kontak kedua-dua kes ini telah dikenalpasti.

Bagi kes 574, kontak adalah merupakan ahli keluarga terdekat sahaja, manakala untuk kes 575, seramai 30 orang kontak telah dikenalpasti dan diberikan arahan kuarantin serta menjalani saringan.

Malah syarikat lokasi kes ke-575 bekerja juga telah ditutup sementara bagi tujuan menjalankan proses disinfeksi dan punca jangkitan bagi kedua-dua kes masih dalam siasatan.