Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini mengumumkan satu lagi kluster baharu COVID-19 dikesan dikenalpasti sebagai kluster Pasar Stutong, Kuching.

Kluster ini dikenal pasti selepas dua lagi kes positif COVID-19 dikesan hasil saringan awal ke atas 56 orang peniaga di pasar tersebut.

Untuk itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) akan melakukan saringan susulan ke atas semua peniaga di pasar tersebut yang dianggarkan seramai 200 orang.

Berikut merupakan lima perkara yang anda perlu tahu menerusi kenyataan media yang dikeluarkan JPBN Sarawak untuk hari ini.

1. Sarawak hari mencatatkan tujuh kes positif terbaharu COVID-19 melibatkan enam kes di daerah Kuching manakala satu lagi kes di Bintulu. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri Bumi Kenyalang itu setakat ini meningkat kepada 601 kes.

2. Dua kes merupakan kes import:

(i) Satu daripadanya merupakan warga tempatan yang yang tiba dari Singapura pada 12 Julai 2020 dan transit di Kuching untuk satu malam. Semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), kes terus dimasukkan ke pusat kuarantin di Kuching dan telah meneruskan perjalanan ke Bintulu pada hari berikutnya. Saringan COVID-19 untuk hari kedua pada 16 Julai 2020 mendapati kes positif COVID-19.

(ii) Kes import kedua juga warga tempatan yang pulang dari Indonesia pada 5 Julai 2020 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan ke KIA pada 6 Julai 2020. Setibanya di KIA, kes telah dimasukkan terus ke pusat kuarantin hotel di Kuching bagi menjalani kuarantin 14 hari. Saringan COVID-19 hari ke-2 adalah negatif tetapi saringan kedua pada hari ke-10 adalah positif COVID-19 pada 17 Julai 2020.

3. Terdapat satu kes jangkitan tempatan melibatkan kluster Mambong dan kes melibatkan seorang warga tempatan yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif yang melibatkan kluster Mambong sebelum ini. Kes dikesan hasil pengesanan dan saringan ke atas kontak rapat dan ahli keluarga. Ini merupakan penambahan satu kes kepada jumlah kes positif COVID-19 kluster Mambong menjadikan jumlah keseluruhan kepada lima kes.

4. Kes Saringan Kendiri, satu kes melibatkan seorang wanita bukan warganegara yang menjalankan saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Batu Kawah bagi tujuan membuat perjalanan balik ke negara asal. Kes tidak mengalami sebarang tanda dan gejala. Saringan COVID-19 untuk ujian rT-PCR pada 17 Julai 2020 mendapati kes positif COVID-19. Kes adalah jangkitan tempatan kerana kes tidak mempunyai sejarah perjalanan melawat ke luar negara sebelum tahun 2019.

5. Satu kes melibatkan seorang warga emas warga tempatan yang berasal dari Sri Aman dan menetap di Kuching. Kes telah diarahkan menjalani pemeriksaan bronchoscopy di Hospital Bau pada 17 Julai 2020 dan menjalani saringan swab rT-PCR sebelum pemeriksaan. Ujian saringan rT-PCR menunjukkan kes adalah positif pada hari yang sama. Kes ini masih dalam siasatan lanjut.