Sarawak bakal lakar sejarah tersendiri apabila berjaya mencipta biogas berasakan kanji rumbia pertama di dunia.

Projek yang sedang diusahakan dengan Craun Research ini telah mendapat kelulusan kerajaan negeri pada Mac 2020.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, ia bakal menjadi sumber kepada gas alternatif yang menjadikan kos jauh lebih murah jika dibandingkan dengan penggunaan gas silinder pada ketika ini.

“Projek yang dibangunkan di Kampung Teh dan Kampung Tabo, Mukah ini pada asalnya adalah bagi mencari penyelesaian secara bersepadu kepada masalah pencemaran alam sekitar hasil aktiviti pemprosesan kanji rumbia.

“Hanya selepas itu beralih kepada penghasilan biogas kanji rumbia pada tahun 2018 hasil kajian Craun Research sejak 2003,” ujarnya.

Tambahnya, untuk fasa permulaan, biogas yang dihasilkan akan disalurkan untuk kegunaan isi rumah di dua kampung tersebut bagi menggantikan penggunaan gas konvensional.

Abdul Yakub berkata demikian semasa taklimat Projek Rakyat: Bionatural Gas Distribution for Rural Household bersama Ketua Pegawai Eksekutif Craun Research, Zaidell Hussaini pada Rabu.