Sarawak adalah negeri yang boleh dijadikan contoh atau modul mengenai kepelbagaian, toleransi dan perpaduan antara kaum serta agama di negara ini.

Dengan keistimewaan itu, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, kementerian mahu mempelajari sekali gus memantapkan kefahaman mengenai keharmonian kaum dan agama tersebut.

"Saya turun ke Sarawak sejak Jumaat lalu adalah untuk belajar memantapkan kefahaman mengenai perpaduan.

"Dalam usaha kementerian untuk menghasilkan sesuatu seperti pelan tindakan perpaduan, kita perlu faham dahulu... bila kita faham kita rancang dan kemudiannya melaksanakannya," katanya menerusi temu bual bersama SarawakFM pada Sabtu.

Halimah bersama barisan kepimpinan kementerian itu mengadakan lawatan kerja ke Sarawak bermula Jumaat.

Beliau turut bertemu dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Selain itu, Halimah memberitahu beliau dan barisan pemimpin mendapat pandangan serta nasihat daripada Abang Johari terhadap peranan yang boleh dijalankan kementeriannya dalam konteks perpaduan rakyat.

Malah, bagi pertemuan dengan Uggah pula, kata beliau, banyak perkara yang dibincangkan terutama sekali mengenai peranan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) termasuk peranan badan itu mengharmonikan agama-agama di negeri itu.

"Itu antara tujuan kita turun ke Sarawak... kita mahu belajar dan memahami keharmonian itu," katanya.