Tutup

Sarawak kawal aktiviti pembakaran terbuka di tanah hak adat

Sarawak kawal aktiviti pembakaran terbuka di tanah hak adat
Aktiviti pembakaran terbuka perlu mendapat permit dan dipantau oleh pengawal melalui perintah yang dikeluarkan di bawah Seksyen 10 (2) Ordinan Utama. - Gambar hiasan
KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak akan mengawal aktiviti pembakaran terbuka terutama untuk pertanian komersial di tanah hak adat Bumiputera (NCR).

Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pengusaha pertanian tradisional di Sarawak yang melibatkan tanah kurang daripada 40 hektar di luar bandar, dibenarkan untuk menjalankan aktiviti pembakaran itu.
Bagaimanapun kata Awang Tengah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, aktiviti itu perlu mendapat permit dan dipantau oleh pengawal melalui perintah yang dikeluarkan di bawah Seksyen 10 (2) Ordinan Utama.

"Oleh itu, pekebun kecil yang terlibat dalam aktiviti ini tidak perlu memohon permit setiap kali mereka ingin melakukan aktiviti meneroka dan membakar kerana mereka diberikan kebenaran menyeluruh di bawah ordinan ini.
"Sebagai alternatif, pengawal diberi kuasa memberi kebenaran untuk pembakaran terbuka di bawah Seksyen 29 Ordinan Utama kepada pegawai-pegawai wilayah Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) atau kepada pegawai residen dan daerah untuk memudahkan pemberian kebenaran itu," katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Awang Tengah bagaimanapun berkata NREB tidak membenarkan sebarang pembakaran terbuka termasuk pembakaran di kawasan belakang rumah apabila Indeks Pencemaran Udara melebihi 100 dan Indeks Cuaca Kebakaran melebihi paras tujuh serta ketika negara dilanda jerebu.

"Jika mereka melakukannya, kami akan mengambil tindakan, " katanya.

-- BERNAMA


Tag: sarawak, pembakaran, pertanian, tanah hak adat, bumiputera, ncr, Awang Tengah Ali Hasan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.