Sarawak akan menguruskan sendiri sumber semulajadinya terutamanya minyak dan gas, sejajar dengan persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk mengembalikan hak negeri ini yang selama ini terhakis tanpa sengaja.

Ketua Menteri, Datuk Abang Johari Tun Openg berkata, persetujuan itu adalah mengikut perlembagaan di bawah Senarai Negeri seperti yang terkandung dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

"Perdana Menteri telah bersetuju untuk mengembalikan hak ini kepada Negeri.

"Dan buktinya, pembentukan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan pelaksanaan hak perlembagaan ini adalah hasil perbincangan mengenai penurunan kuasa yang berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

"Justeru itu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas persetujuan ini," katanya ketika berucap melancarkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) di Hotel Pullman di sini sebentar tadi.

Petros yang ditubuhkan tahun lalu itu turut diberi lesen untuk beroperasi, selari kepada kuasa yang ada pada Kerajaan Negeri.

Abang Johari berkata dengan sokongan berterusan rakyat untuk Barisan Nasional, beliau yakin lebih banyak kemajuan akan dilakukan untuk memenuhi aspirasi rakyat Sarawak.
Sokongan berterusan rakyat untuk BN, lebih banyak kemajuan akan dilakukan untuk aspirasi rakyat Sarawak

Sarawak katanya, selepas ini akan memperoleh status negeri maju selari dengan Semenanjung Malaysia dan akan menikmati lebih banyak pendapatan daripada minyak, gas dan sumber mineral lain.

"Ini akan membantu untuk membiayai agenda pembangunan Kerajaan Negeri dan inisiatif Ekonomi Digital," katanya lagi.