Tatkala masyarakat berjaga-jaga mengelakkan risiko terdedah kepada penularan COVID-19, pelbagai insiatif diperkenal untuk terus membantu memudahkan urusan seharian mereka.

Tidak ketinggalan aplikasi e-dompet di Sarawak iatu Sarawak Pay yang turut menjadi pililhan warga Bumi Kenyalang di saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berlangsung.

Aplikasi sebegini bukan sahaja memudahkan transaksi malah ia lebih cepat dan selamat kerana tidak melibatkan penggunaan wang tunai.

Bagi seorang pengguna, Mohd Nazirul Haziq Mohd Musa, dengan adanya aplikasi ini ia juga membantu memudahkan urusan melakukan pembayaran bil utiliti.

“Aplikasi ini sangat membantu kerana tidak perlu keluar dari rumah dan paling penting banyak urusan boleh diselesaikan di hujung jari.”

Selain itu bagi Koh Jia Lim yang juga merupakan pengguna aplikasi ini, ia bukan sahaja memudahkan malah pengguna berpeluang menikmati ganjaran yang ditawarkan.

“Bukan sahaja proses transaksinya mudah, malah sekiranya anda kerap menggunakan aplikasi ini, pasti akan ada ganjaran yang sangat menguntungkan pengguna.”

Sarawak Pay diperkenalkan pada November 2017 seterusnya menjadikan Sarawak sebagai negeri pertama yang memiliki aplikasi e-dompetnya sendiri.

Setakat 5 Januari lalu, Sarawak Pay telah merekodkan 190,400 pengguna dan 11,600 peniaga berdaftar dan telah menjana nilai transaksi berjumlah RM 175 juta.