Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1.5 bilion untuk Lembaga Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) untuk mempercepatkan projek infrastruktur di kawasan tanah tinggi Bahagian Miri.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embah berkata dengan adanya lebih banyak kesalinghubungan seperti jalan raya dan kemudahan lain di kawasan tanah tinggi, kerajaan negeri merancang untuk membuka lebih banyak aktiviti pertanian yang boleh menjana lebih banyak pendapatan.

"Setakat ini, kami telah memperuntukkan sejumlah RM345.9 juta untuk empat projek jalan raya dan satu jambatan, kami juga membelanjakan RM20 juta untuk projek bekalan air untuk Long Silat dan Long Jekitan," katanya pada sesi bertemu rakyat di Kampung Long Jeeh, Baram di sini pada Selasa.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak berkata untuk projek pertanian, salah satu tumpuan utama adalah penanaman tanaman makanan dan untuk memastikan kejayaan projek, ia akan melibatkan penyertaan sektor swasta.

"Kami akan membantu pekebun kecil dan kami akan membawa syarikat-syarikat besar serta menanam tanaman seperti durian, pisang, kopi, nanas dan lain-lain untuk eksport," katanya.

Mengenai perkembangan lain, Uggah menafikan dakwaan oleh pihak-pihak tertentu bahawa kerajaan negeri berhasrat untuk "merampas" Tanah Adat Bumiputera melalui kajian perimeter yang sedang dijalankan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

"Operasi (kajian perimeter) adalah untuk mengenal pasti tanah NCR mereka dari tanah kerajaan negeri," katanya sambil menambah kajian itu akan diperluaskan ke kawasan lain di Baram.

Mengenai cadangan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), beliau berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengulangi pendiriannya untuk menolak cadangan itu kerana ia akan menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat terutama di rumah panjang dan kampung-kampung luar bandar.

Pada majlis yang sama, Uggah meluluskan geran RM20,000 untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampong Panjang Jeeh serta mengedarkan benih durian Durian Musang King kepada pemmpin komuniti di kawasan tersebut.

Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Gerawat Gala.

-- BERNAMA