Negeri Sarawak miliki potensi yang besar untuk diangkat sebagai hab pengeluaran kopi di rantau ini. Ini setelah Bumi Kenyalang ini dipilih menjadi tuan rumah bagi acara Simposium Kopi Borneo.

Simposium yang berakhir hari ini menyaksikan pakar kopi dari seluruh dunia berkampung di Kuching dan ini merupakan acara pertama seumpamanya diadakan.

Pada tahun ini, 111 hektar kawasan diperuntukan bagi penanaman kopi di Sarawak dan sebanyak 20.7 metrik tan kopi dihasilkan pada tahun 2017 merangkumi 247.0 hektar kawasan tanaman.

Dengan adanya industri kopi, ia sekali gus meningkatkan sosioekonomi petani khususnya dalam kepelbagaian prospek tanaman kopi.

Menurut Setiausaha Kementerian Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datu Ik Pahon Joyik, usaha ini penting dalam memartabatkan sumber bumi Sarawak di mata dunia.



“Dengan meletakkan Sarawak di peta dunia industri kopi, ia diharap dapat membuka peluang kepada petani menghasilkan produk yang lebih pelbagai dan sekali gus menjadi pakar dalam produksi kopi," katanya.

Simposium yang bermula pada 6 April (Sabtu) ini turut dihadiri Pengarah Kopi Konsulat, Dr. Steffen Schwarz.

Menurutnya, dalam mencapai misi untuk berjaya dalam bidang pembuatan kopi, hubungan pengusaha dengan pekerja atau petani adalah paling penting.

“Pengusaha harus lebih agresif jika mahu berjaya dalam industri kopi. Yang pertama sekali mesti jaga para petani kerana jika tiada kejujuran, tidak akan ada petani untuk bantu. Jangan bersikap ego," ujarnya.

Schwarz dari Jerman adalah antara 18 speaker dan ahli panel yang pakar dalam industri kopi dari pelbagai negara yang hadir memeriahkan acara di Kuching ini.